Alyah tertekan, Ramli MS kunci mulut?

shares |

Teka teki mengenai status sebenar penyanyi Alyah yang kononnya sudah bergelar isteri kepada konduktor muzik terkenal, Datuk Ramli MS terus menjadi tanda tanya. Malah yang terus-terusan menjadi sasaran media ialah Alyah sendiri sedangkan Ramli seperti biasa tetap mendiamkan diri.


“Saya tak pernah secara spesifik cakap akan umumkan semua ini selepas raya. Ia boleh jadi hujung tahun atau awal tahun,” katanya.

Ditanya apakah beliau tertekan kerana empunya diri saja yang asyik bertalu-talu diajukan persoalan ini sedangkan Ramli terus mengunci mulut penyanyi lagu Kisah Hati dan Tak Mungkin Kerna Sayang itu tidak menafikan sesekali terbit rasa tertekan.

“Yang difokus selalunya pada pihak saya dan orang tak berani tanya pihak lagi satu. Nampak macam saya yang terhegeh-hegeh pula. Di mana saya nak letak maruah saya sebagai seorang wanita.

Saya agak tergugat dengan hal ini. Cuma saya tak pernah putus memanjangkan doa supaya isu tergantung ini akan berakhir dengan penjelasan nyata. Ia jadi susah apabila satu pihak lagi okay dan satu lagi sebaliknya. Jadi di pihak saya, nak cakap pun susah.

“Jadi apa yang selalu keluar di media sosial mahupun cetak, atau yang sering dikomen orang tempiasnya tetap pada saya. Ada yang cakap kenapa perlu berkawan dengan dia, tapi tak berani nak mengaku. Bayangkan apa yang saya tanggung dan lalui ini. Dalam hati sering tertanya-tanya, dugaan apakah ini? Saya sendiri pernah terdetik, susahnya nak cari kebahagiaan sebagai seorang wanita.

“Bukan tiada yang memberi sokongan, tapi saya memohon pengertian daripada kawan, peminat dan rakan media juga orang di luar sana. Kalau dapat ditunjukkan semua ini seperti semudah melafaz A, B, C… memang senang hidup. Tapi saya tak mampu berbuat demikian dan hanya tabah melaluinya. Saat ini sokongan daripada mereka yang memahami amat dihargai,” katanya.

Bagi Alyah, beliau di pihak perempuan tidak boleh berbuat apa-apa selagi pihak lagi satu tidak mengambil langkah. Malah ketika ini, tiada lelaki lain yang dikaitkan dengan beliau. Hanya Ramli saja yang sering dikaitkan dengannya.

“Kalau saya lelaki barangkali senang untuk memutuskan itu dan ini. Hakikatnya saya hanya seorang wanita. Tapi itu tak bererti saya menyalahkan takdir dilahirkan sebagai wanita. Saya memang tiada pilihan lain selain terus berdiam diri. Saya perlu jaga maruah keluarga. Saya sudah lali dengan semua ini. Saya telan apa saja orang kata,” katanya.

Alyah sebelum ini pernah berkata beliau tidak kisah dengan apa saja tanggapan khalayak mengenai hal yang menyelubungi hidupnya itu.

“Terpulang jika ada yang anggap saya sudah kahwin. Selama ini pun, saya tidak pernah mengaku atau menafikan persoalan yang sentiasa berlegar dalam fikiran ramai.

Ramai yang mengharapkan jawapan pasti, tetapi itu tidak bermakna saya cuba lari daripada kenyataan hidup.

“Saya memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu nanti pada kemudian hari ia jadi bertambah buruk. Selama saya memulakan kerjaya, sudah terlalu banyak perkara buruk yang dilalui. Saya mengambil masa yang lama untuk menyerlah dan berada pada kedudukan sekarang. Jadi, banyak benda yang saya belajar sekali gus berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Saya berharap semua memahami situasi yang saya lalui. Insya-Allah apabila tiba masanya, semua yang terbuku tanpa perlu dipaksa akan dihuraikan dengan kerelaan. Saya memohon pengertian sepanjang tempoh penantian itu,” katanya.

Menurut Alyah, beliau memberitahu sekiranya sampai waktu, kesemua persoalan akan terungkai. – BH Online

Related Posts