Anzalna Nasir hanya mempertaruhkan kecantikan berbanding bakat

shares |

TUTUR katanya yang lembut dan manja itu pasti mampu membuat mana-mana lelaki mudah jatuh cinta dengannya.

Bukan hanya itu, dikurniakan dengan wajah jelita lagi menggoda telah menjadikan Nur Anzalna Md. Nasir atau lebih popular dengan panggilan Anzalna sebagai salah seorang bintang yang semakin laris.


Tidak keterlaluan dikatakan namanya kini berada di puncak seiring dengan teman seperjuangan lain seperti Neelofa, Tasha Shilla dan Izara Aishah yang turut meraih perhatian meluas.

Tetapi kalau diperhatikan kepada trek rekodnya sebagai seorang pelakon, ada segelintir pihak yang mula mempertikaikan kehadirannya di dalam industri.

Dalam erti kata lain, Anzalna dilihat hanya mempertaruhkan kecantikan berbanding bakat kerana sehingga kini tiada apa yang dapat dibanggakan.

Kalau watak yang diberikan kepadanya, pasti tidak akan lari daripada imej penggoda. Apakah aktres berusia 24 tahun ini selesa dilabelkan sebegitu?

Saya menganggap mana-mana artis yang hadir dengan pakej lengkap adalah satu kelebihan. Tetapi kehadiran saya ke dalam industri bukan mahu memperjudikan paras rupa semata-mata.

Penglibatan saya dalam industri masih lagi baru dan terlalu mentah. Walaupun tidak sampai setahun dalam bidang ini, saya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.


Berikan saya masa untuk memperbaiki diri sendiri. Perjalanan saya baru hendak bermula dan masih lagi jauh. Tidak adil rasanya untuk menghukum saya hanya kerana masih lagi hijau dalam industri," katanya dalam nada optimis sewaktu ditemui pada pelancaran drama bersiri Indera Joned di Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kaki cemburu?

Sedang enak si jelita ini diulit populariti, timbul pula cerita lain yang mengatakan Anzalna juga kaki cemburu dan tidak senang melihat kejayaan teman seperjuangannya.

Sementelah, ada di antara pelakon baru lain yang sudah mula mendapat tawaran menjadi bintang utama dan melonjak nama mereka, Anzalna masih lagi di bawah apabila hanya sekadar membawa watak pembantu sahaja.

Menjawab persoalan itu, sambil melemparkan senyuman, Anzalna memberitahu dia sedikit pun tidak terkesan dengan cerita yang padanya tidak berasas itu.

Buat apa hendak cemburu dengan mereka sebab tidak akan ke mana kalau ada sifat negatif seperti itu. Saya percaya setiap perjalanan manusia itu sudah ditentukan oleh Allah SWT. Begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain.

Sudah tertulis bahawa rezeki berpihak kepada mereka untuk menjadi pelakon utama biarpun masih baru dalam bidang ini. Saya tidak cemburu mahupun ambil hati dengan senario itu.

Adalah lebih baik bagi saya untuk bermula dari bawah secara perlahan-lahan sebelum sampai ke puncak. Saya percaya kepada rezeki dan mungkin saya belum lagi ke tahap mereka," jelas pelakon drama rantaian Suria Di Cordoba dan Gemersik Kalbu ini bersungguh.

Tetapi kata Anzalna, meskipun baru menjejakkan kaki dalam dunia lakonan, pengalaman yang diperolehinya dalam tempoh 10 bulan ini adalah sesuatu yang manis dan sangat berharga.

Diberi peluang berlakon di samping pelakon-pelakon hebat sememangnya tidak pernah dibayangkan oleh Anzalna.

Untuk itu, dia sendiri tidak akan melepaskan peluang untuk menimba ilmu dan meminta tips lakonan daripada pelakon senior dalam memperbaiki dirinya.

Tidak kisah sebenarnya kalau saya hanya diberi watak pembantu kerana itulah proses pembelajaran untuk saya. Apatah lagi dapat berlakon dengan pelakon berpengalaman ia adalah satu bonus.

Lagipun sebagai pelakon baru, saya sedar kemampuan diri sendiri. Kalau berlakon watak utama tetapi impak lakonan itu tidak ada, bagi saya itu bukan sesuatu yang harus dibanggakan," ujar Anzalna yang merupakan anak kedua daripada lima beradik ini lagi.

Dimensi baru

Biarpun lakonannya dikritik hebat, dalam masa yang sama, anak kelahiran Pulau Pinang ini bersyukur apabila peminat sudah mula menaruh keyakinan terhadap lakonannya.

Buktinya, drama Mahabbah yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 membuktikan bahawa dirinya mampu melakonkankan watak lebih daripada seorang penggoda.

Untuk itu dia kini mahu menjadi lebih selektif dalam setiap tawaran yang diberikan kepadanya.


Namun pendiriannya itu tidak mahu dipandang negatif tetapi adalah lebih kepada satu anjakan dalam karier seninya.

Saya cukup sedar watak penggoda amat sinonim dengan diri saya dan kalau boleh, saya mahu lari daripada watak sedemikian.

Sampai bila asyik mahu menjadi wanita seperti itu sehingga impaknya terbawa-bawa ke luar lokasi apabila saya dianggap sama seperti di dalam televisyen.
Bukan saya tidak mahu lagi menjadi penggoda tetapi adalah lebih baik buat masa ini, saya kurangkan terlebih dahulu dan mencuba watak lain," jelasnya penuh mengharap.

Atas alasan itu, Anzalna sudah berani untuk mencabar dirinya apabila menerima watak utama. Dalam konteks ini, dia memberikan contoh lakonannya sebagai Sara dalam Indera Joned.

Mula ditayangkan di slot Aksi TV3 pukul 9 malam bermula 21 Mei lalu, aktres muda ini melihat watak berkenaan adalah sesuatu pengalaman baru buatnya.

Ditambah pula berlakon di samping barisan pelakon baru seperti Aiman Hakim Redza, Syazwan Zulkifly, Qi Razali, Puteri Sarah dan Hairul Azreen, Anzalna lebih merasakan terujanya di lokasi.

Ini merupakan kali pertama saya membawakan watak utama dan pastinya cabaran itu tetap ada. Wataknya pula berbeza dengan apa yang saya lakukan sebelum ini.

Menghabiskan sebahagian besar masa di dalam hutan juga menuntut kesabaran yang bukan kecil-kecil anak.

Related Posts