Awie dan Maya Karin lebih romantik

shares |


SEJAK semalam, pementasan teater Supermokh The Musical Restaging sudah berlangsung dan ia akan berakhir pada 21 September ini. Teater ini sekali lagi menyaksikan gandingan Awie dan Maya Karin memegang watak utama.

Jika pementasan dulu, ada yang menyifatkan gandingan mereka masing-masing menerusi watak pemain bola sepak negara yang juga ikon kesayangan Malaysia iaitu Mokhtar Dahari dan isteri, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim agak janggal, tetapi ia berbeza kali ini.

Kedua-duanya dilihat begitu profesional memastikan kelancaran pementasan teater yang dipentaskan semula atas permintaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ini. Awie sendiri yang ditemui memberitahu mereka kini lebih romantik dan mesra di atas pentas.


"Dia (Maya) sangat profesional. Tak ada masalah antara kami. Pementasan dulu bukan kerana kami masing-masing malu tetapi mengejar masa. Sekarang kami sudah santai di atas pentas. Pendek kata lebih romantik berbanding dulu," kata penyanyi lagu Tragedi Oktober itu.

Manakala Maya mengakui agak tertekan berlakon teater itu kali ini tetapi bukan disebabkan kerana perlu bergandingan dengan Awie lagi sebaliknya perlu menghafal banyak lagu yang diamanahkan kepadanya.

"Bayangkan saya dapat lagu pada minit akhir iaitu empat hari sebelum pementasan berlangsung. Malah pementasan kali ini juga watak Tengku Zarina lebih banyak bercerita kepada penonton," katanya.


Mengenai Awie, Maya menyedari ada kejanggalan di antara mereka sewaktu pementasan terdahulu sekitar November 2013.

"Tapi kini kami kian selesa di atas pentas. Saya jenis pemalu dan dia (Awie) pun sama juga. Kami jenis introvert dan banyak berdiam diri. Kalau waktu latihan, dia akan bersendiri di satu sudut. Dia jenis yang buat hal sendiri. Saya pun macam dia.

"Jadi hal ini yang mungkin membuatkan timbul keselesaan ketika kami di atas pentas. Kami lebih romantik kali ini. Macam dialog Awie di atas pentas, bukan selalu kami mesra di atas pentas," seloroh Maya yang baru muncul dengan filem Lagenda Budak Setan 3- Kasyah berlakon di sisi Farid Kamil.

Akhbar NSTP turut menjadi akhbar rasmi kepada teater ini. Setakat ini, daripada 25,000 tiket yang disediakan sudah 16,000 terjual. Teater ini juga antara yang mendapat perhatian daripada pelbagai pihak untuk tajaan.

Kepada yang ingin menyaksikan teater ini, dapatkan tiket di kaunter box office Istana Budaya atau menerusi atas talian di Hyperlink www.ticket2u.biz.

Related Posts