Pelajar UiTM Maut Dirempuh Kereta Pensyarah

shares |


Seorang pelajar perempuan berusia 20 tahun Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di kampus tersebut petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa Fatin Farah Farradia Yusof dikatakan baru selesai menghadiri kuliah di kampus berkenaan.


Difahamkan, mangsa adalah penuntut tahun dua Diploma Sains Sukan unversiti berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan bersama rakannya sebelum dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pensyarah wanita. Mangsa dikatakan jatuh dari kawasan berbukit sehingga ke perhentian bas berdekatan.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama dua lagi rakannya sedang bergambar.


Fatin Farah Farradia Yusof bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejurus kejadian dipercayai akibat pendarahan dalaman.

Menurut satu laporan, pensyarah wanita yang terlibat dikatakan mempunyai masalah kesihatan, beliau dikatakan pengsan ketika memandu dan tertekan minyak sebelum merempuh mangsa.


Berikut info dari perwakilan pelajar yang kami diterima,

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Kami menzahirkan rasa dukacita kepada ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan, allahyarhamah FATIN FARAH FARADDIA BINTI YUSOF, pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (Diploma/Semester 4) yang telah meninggal dunia akibat terlibat dengan kemalangan yang berlaku pada petang semalam.

Di kesempatan ini, kami ingin berpesan kepada semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang spekulasi kerana kemalangan ini masih dalam siasatan polis. Tindakan ini secara tidak langsung akan menghormati perasaan semua pihak. Sama-sama kita doakan agar allahyarhamah diampunkan dosanya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Solat jenazah akan diadakan selepas bedah siasat yang dijangka selesai pada jam 11.00 pagi ini di surau Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Selepas itu akan terus dibawa pulang untuk dikebumikan di Dungun, Terangganu. Kepada yang berkelapangan dijemput untuk bersama-sama di surau HTAR esok.

Sebagai makluman juga pihak UiTM telah menyediakan sebuah bas bagi rakan-rakan arwah untuk ke kampung halaman arwah yang akan bertolak awal pagi nanti. Semoga segala urusan dipermudahkan.

Al-fatihah
Abang Mohd. Hafizie bin Abang Bunsu
Yang Di Pertua
Majlis Perwakilan Pelajar
UiTM Shah Alam

Related Posts