Percayakah Anda Pokok Yang Boleh Beralih Tempat?

shares |

Adakah wujud spesis pokok yang boleh berubah tempat - mampu bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain, seperti kumpulan nomad di padang pasir?


Barangkali ada yang tidak percaya perkara pelik ini tapi jangan terkejut jika dikatakan sebahagian tanaman dalam hutan Amazon boleh berjalan dan beralih dari tempat asal dengan sendiri.

Spesis flora yang memiliki kemampuan pelik ini dinamakan sebagai Socratea Exorrhiza. Spesis ini terkenal dengan julukan 'Pokok Berjalan' atau 'Cashapona'. Ia merupakan sejenis pokok palma yang tumbuh di dalam hutan hujan tropika di Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Berdasarkan rekod, tanaman ini boleh tumbuh setinggi 25 meter dengan ukuran batangnya mencapai 17 sentimeter ukur lilit. Bukan hanya itu, pokok ini juga memiliki bentuk akar yang agak ganjil dan tidak sama dengan tumbuhan lain. Keunikan itu membuatkan pokok ini kelihatan seolah-olah 'berdiri' menggunakan akarnya.

Melihat kepada keanehan tunas itu, timbul persoalan adakah kerana akarnya yang berkeadaan begitu menyebabkan ia boleh 'berjalan' sendiri? Tapi, untuk tujuan apa ia berkelakuan pelik seperti itu?

Pada mulanya, tiada siapa tahu apa sebenarnya kegunaan atau fungsi akar pokok tersebut. Bagaimanapun, oleh kerana bentuknya yang agak luar biasa, ia telah menarik minat perbincangan dan perdebatan di kalangan cendekiawan.

Sejak itu, beberapa fakta mengenai tanaman ini telah ditemui. Semuanya bermula dengan idea yang dicetuskan oleh Corner pada tahun 1961. Dia berpendapat, akar Socratea Exorrhiza berkeadaan begitu kerana untuk menyesuaikan dirinya dalam hutan tebal.

Ini membantunya menyesuaikan diri dengan keadaan muka bumi sesuatu tempat termasuklah tanah berpaya.


Teori lain pula mengatakan bahawa, kemungkinan pokok berkenaan 'berpenunggu'. Satu kuasa misteri dikatakan telah menggerakkannya lalu boleh berpindah ke mana-mana. Bagaimanapun, idea ini kurang dipersetujui kerana ia tidak dapat dijelaskan secara total.

Pada tahun 1980, seorang pengkaji hutan bernama Bodley cuba membincangkan semula perkara pelik ini. Menurutnya, akar yang kelihatan ganjil itu mungkin punca sebenar mengapa pokok itu boleh berjalan.

Selain akar pokok, boleh jadi juga keadaan muka bumi di hutan Amazon yang sentiasa berubah menyebabkan sebahagian pokok bergerak ke tempat lain. Hipotesis beliau kemudiannya membuka mata pengkaji dan seterusnya menjadi topik perbincangan. Bagaimanapun, idea ini masih belum dapat dibuktikan kebenarannya.

Seorang penulis, Radford, dalam sidang media Skeptical Inquirer pada Disember 2009, menyatakan tentang rasa tidak percayanya terhadap fenomena ini. Dia berpendapat bahawa cerita mengenai pokok yang pandai berjalan sendiri di hutan Amazon satu perkara yang menarik.

Tapi, semua itu tidak masuk akal dan mitos semata-mata. Sekiranya ia benar-benar terjadi, dia mencabar supaya kebolehan tumbuhan itu dapat dibuktikan secara saintifik.


Tidak lama selepas itu, pasukan penyelidik dari Amerika Syarikat, John H. Bodley dan Foley C. Benson menulis tentang fenomena ini dalam sebuah buku berjudul The Association for Tropical Biology and Conservation.

Berdasarkan pemerhatian mereka, Walking Palm Tree memang memiliki kebolehan anomali itu. Apabila diperiksa barulah diketahui bahawa pokok tersebut sebenarnya tidak mempunyai akar tunjang.

Jejari akar yang dimilikinya seakan-akan berfungsi sebagai 'kaki' untuk berdiri. Sebab itulah tumbuhan ini dikatakan mampu bergerak dan mengubah posisinya.

Proses penghijrahan atau berpindah ke tempat lain dilakukan apabila pokok ini tumbang akibat ditimpa oleh pokok lain. Pohon ini kemudian bergerak dengan menggunakan akar yang ada sebagai 'kaki' untuk mencari lokasi lain.

Lokasi yang menjadi pilihannya ialah kawasan yang kaya dengan sumber makanan dan mempunyai sinaran matahari. Sekiranya lokasi baru itu menepati syarat, pokok berkenaan akan meletakkan tunasnya di atas tanah dan terus menetap disitu.

Apa yang mengejutkan, pokok yang tumbang tadi akan kembai tegak dan berdiri seperti sedia kala bersama akar yang baru tumbuh selepas beberapa minggu.

Dikatakan pergerakannya hanya sekitar satu hingga tujuh meter setahun daripada tapak asal.

Menakjubkan bukan?

Related Posts