SPRM tahan12 pegawai Kastam, tumpas sindiket terbesar seludup arak dan rokok

shares |

Sindiket telah melibatkan transaksi rasuah
kerana melindungi aktiviti penyeludupan
dan penyalahgunaan kemudahan di Zon
Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan
Klang.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan 22 individu termasuk 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.

Salah seorang daripada 12 pegawai Kastam yang ditahan itu merupakan Pengarah Kastam Negeri.

Sepuluh yang lain termasuk pemilik syarikat, ejen-ejen serta pemandu lori yang membawa barang-barang seludup.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi khas secara besar-besaran di Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Sri Mohd Shukri Abdull berkata, tindakan menahan kesemua mereka merupakan hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.

“SPRM percaya tangkapan ini telah berjaya menumpaskan dalang terbesar aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang," kata Mohd Shukri dalam satu kenyataan petang Rabu.

Menurut Mohd Shukri, barang-barang yang tidak dibayar duti kastam terbabit terdiri daripada rokok dan arak.

Ia diseludup keluar untuk pasaran dalam negara dan sebahagian barang terbabit turut dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram.

“Sindiket telah melibatkan transaksi rasuah kerana melindungi aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang” tambah beliau lagi.

Operasi ini turut merampas sejumlah wang tunai dan barang yang diseludup dari gudang pelabuhan. Difahamkan nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini mencecah ratusan juta ringgit.

Operasi yang dijalankan bermula semalam dilaksanakan secara bersepadu diketuai oleh SPRM bersama pasukan petugas khas.

Turut menyertai operasi khas ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity.

Related Posts