Wak Doyok Cuma Mahu Didik Orang Berfesyen

shares |

Sejak akhir-akhir ini, Wak ­Doyok mula menjadi hos program dan menjadi model iklan komersial dan terbaru, menjayakan sitkom Small Mission Enterprise (SME) musim ketiga.


Kepelbagaian bidang diceburi itu menimbulkan tanda tanda status Wak Doyok dalam industri. Bertemu dengannya ketika majlis pra-tonton SME baru-baru ini, ikon fesyen Mods itu mengakui, lakonan mahupun pengacaraan bukan fokus utamanya.

Katanya, dia menggunakan landasan itu untuk mendidik anak muda mengenai cara berfesyen. Tambah pula itulah matlamat yang ingin dicapainya.

“Walaupun terbabit dalam bidang lain, saya tetap mahu dikenali sebagai ‘orang fesyen’. Pembabitan dalam bidang lain sekadar memenuhi permintaan dan melihat ada ruang untuk menyelit atau memperkenalkan ilmu berfesyen kepada masyarakat.

“Saya tidak menjadikan lakonan atau pengacaraan sebagai tumpuan utama. Itu cuma sampingan yang saya akan lakukan andai ia bersesuaian dengan saya.

“Kehadiran saya dalam industri hiburan bukan untuk bersaing dengan Zizan Razak mahupun Aaron Aziz,” kata pemilik jenama The Garment itu sambil ketawa.

Berkongsi cerita mengenai pe­ngalaman kali pertama berlakon, Wak Doyok mengakui lakonan lebih sukar direalisasikan berbanding mengacara program. Dia rasa bertuah kerana mendapat bantuan pengarah untuk melakonkan wataknya.

“Memang dulu saya pernah cakap tidak mahu berlakon kerana berasa diri belum bersedia. Saya tidak mahu apabila berlakon kelihatan kaku.

“Banyak tawaran yang datang terpaksa ditolak kerana belum bersedia. Apabila tawaran ini datang, saya dalam dilema. Selepas diberi kata-kata semangat oleh pengarah, Azizi Chunk dan Fairuz Ramdan serta cadangan dari pengikut (fol­lower) di Instagram, saya yakin untuk mencuba.

“Walaupun lemah menghafal skrip, Azizi banyak membantu. Untuk ingat skrip kena ada ‘point’ untuk mencetuskan keseluruhan skrip itu.

“Dalam pengacaraan tidak terikat dengan skrip sangat. Lebih mudah kerana menggunakan ayat sendiri,” katanya.


Wak Doyok juga tidak menganggap dirinya selebriti namun pengikutnya di laman sosial Instagram mencecah lebih 300,000 setakat ini. Dia bangga kerana semakin mendapat perhatian dalam industri.

Katanya, dulu dia sering dicemuh dan dihina, malah tidak cukup kritikan di Instagram, Facebook mahupun Twitter, ada juga melakukan penghinaan secara terbuka dengan mencetak wajahnya dan menampal di dinding bangunan awam.

“Tidak dinafikan ramai mempertikaikan kehadiran saya. Ramai mencemuh dan menghina fesyen saya yang tidak sesuai dengan cuaca di Malaysia, tetapi yang melonjakkan populariti saya sebenarnya kalangan pembenci (haters).

“Dari jumlah pe­ngikut hanya 10,000, sekarang meningkat dengan mendadak. Komen pula kini ting­gal segelintir yang masih berbuat begitu.

“Selalunya apabila ada yang memberi komen negatif, saya akan memilih satu lokasi dan ajak mereka berjumpa. Sudah beberapa kali saya gunakan pendekatan seperti itu.

“Mereka memang datang. Sampai saja, mereka akan minta maaf dan katakan mereka saja buat seperti itu untuk menarik perhatian. Saya tidak peduli apa orang kata. Paling penting, semakin ramai yang dapat menerima kehadiran saya,” katanya.

Graduan kejuruteraan dari universiti di Jerman ini berkata, rasa cinta pada fesyen menjadi motivasi untuk memberi pendedahan kepada golongan remaja dan belia di Malaysia untuk berpakaian dengan cara betul.

“Saya merakam video untuk 12 episod mengenai tutorial cara berfesyen. Tidak salah saya berkongsi pengetahuan ini supaya menjadi manfaat kepada orang lain yang ingin bergaya tetapi tidak tahu caranya.

“Ramai mengatakan memakai sut dalam cuaca Malaysia yang panas tidak sesuai, namun tidak salah. Yang penting pemilihan material pakaian dan kesesuaian dengan aktiviti harian,” katanya.

Related Posts