Kakak Sanggup Upah Pembunuh Untuk Tembak Adik Yang Enggan Bekerja

shares |


Rusia – Kerana terlalu marahkan adiknya yang enggan bekerja dan hanya duduk di rumah, seorang kakak, Larisa Kazakova, 32, sanggup mengupah pembunuh upahan untuk membunuh Mukhyarbek yang berusia 29 tahun.

Namun niat melakukan pembunuhan itu tidak kesampaian apabila pembunuh upahan berkenaan rupa-rupanya adalah seorang anggota polis yang membuat penyamaran.

Polis berjaya menghidu niat Larisa itu selepas dia dikesan mencari pembunuh melalui internet.

Niat buruknya itu juga dapat dipatahkan apabila adiknya, Mukhyarbek, dengan kerjasama polis telah berpura-pura mati dibunuh.

Larisa ditangkap ketika dia menyerahkan wang kepada pembunuh tersebut dan selepas melihat 'mayat' adiknya yang terbaring berlumuran darah.

Dia kini berdepan hukuman penjara lapan tahun kerana cubaan membunuh.

Dua beradik itu berasal dari Kyrgyztan dan berhijrah ke bandar Surgut di Rusia, sejak dua tahun lalu. Mereka memasuki Rusia secara haram.

Larisa yang juga ibu kepada tiga anak itu mendakwa adiknya tidak bekerja dan hanya melepak di rumah selain dia yang terpaksa menyara lelaki berkenaan.

Dia mendakwa pernah cuba menghalau adiknya keluar dari rumah, namun Larisa dipukul. Memandangkan mereka berada secara haram di Rusia, maka dia tidak dapat membuat laporan polis.

Untuk menyara hidup dan menghantar wang ke kampung halaman mereka, Larisa bekerja sebagai pencuci di beberapa tempat. – MyNewsHub

Related Posts