Lisa Surihani Bakal Jadi Pengarah Filem

shares |


Pelakon popular tanah air, Lisa Surihani yang juga isteri kepada pengarah filem dan anggota KRU, Yusry Abdul Halim dilaporkan bakal menduduki kerusi pengarah tidak lama lagi.

Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu dijangka mengarah sebuah filem pendek yang bakal diterbitkan sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Senarai penuh personaliti wanita yang terlibat dalam Projek Ikal Mayang masih dirahsiakan oleh pihak penganjur.

Projek Ikal Mayang merupakan sebuah inisiatif WOMEN:girls yang diterbitkan oleh Garang Pictures dan Big Eyes Entertainment.

Pada 2013, projek tersebut mengenengahkan 15 personaliti wanita terkenal pelbagai generasi untuk mengarah karya mereka.

Antara yang terlibat seperti Sofia Jane, Sharifah Amani, Vanidah Imran, Mislina Mustaffa, Junad Md. Nor, Mellissa Saila dan ramai lagi.

Beberapa filem pendek terpilih arahan Sofia Jane, Vanidah Imran, Ida Nerina, Melissa Saila dan Junad Md. Nor turut dijemput ke Festival Filem Antarabangsa Busan ke-18 di Korea.

Sementara pada tahun lalu, projek itu yang bertemakan Unspoken Truth telah melangkah ke arena antarabangsa apabila membawa pengarah filem terkenal Indonesia, Nia Dinata, Shireen Seno (Filipina), A.D.Chan (Singapura), Niramon Ross (Thailand) dan Siti Kamaluddin (Brunei) serta Datin Paduka Shuhaimi Baba dari Malaysia.

Turut ditampilkan ialah pelakon terkenal seperti Eja, Elza Irdalynna, Soefira Jaafar dan ramai lagi.

Projek tersebut turut disokong oleh Astro FIRST dengan penayangan beberapa filem pendek terpilih secara eksklusif di saluran tersebut.

Related Posts