Polis KL Menyeru Orang Ramai Elak Hadiri Perhimpunan Bantah Kenaikan Harga Petrol

shares |


KUALA LUMPUR: Perhimpunan membantah kenaikan harga petrol yang dirancang diadakan pada jam 4.00 petang Sabtu di Dataran Merdeka disifatkan sebagai perhimpunan haram.

Demikian menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa seperti yang dilaporkan sebuah portal berita The Star hari ini.

Tajuddin berkata tiada sebarang permohonan dibuat pihak penganjur seperti yang tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, sehingga kini, masih belum jelas siapa penganjur sebenar, meskipun 'jemputan' untuk acara tersebut telahpun tersebar di media sosial serta aplikasi WhatsApp sejak semalam (Khamis).

Bagaimanapun, kata Tajuddin, pihak polis tetap akan memantau perhimpunan tersebut, namun tidak menggalakkan orang ramai menyertainya.

Menurut beliau, pihak polis tidak ada masalah sekiranya orang ramai membuat keputusan untuk menghadirinya selagi mereka berada dalam keadaan aman serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Rabu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, menjadikan harga runcit baharu bagi RON95 sebanyak RM2.30 manakala diesel, RM2.20.

Menurut kenyataan KPDNKK, ia berikutan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuatkuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Bagaimanapun kerajaan dijangka akan menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban, termasuk menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 nanti.

Related Posts