Warga emas berjaya terbangkan belon udara ke perut Bumi

shares |


Seorang warga emas berjaya mencatatkan nama di dalam Guinness Book of Records selepas berjaya menjadi manusia pertama memandu belon udara panas ke dalam perut Bumi.

Mail Online melaporkan, pakar penerbangan, Ivan Trifonov, 70, berjaya melakukan aksi itu di Gua Mamet di sini, yang memiliki kedalaman 205 meter dan lebar 60 meter, bulan lalu.

Trifonov berkata, bagi memastikan usaha tersebut berjalan lancar, dia perlu mengubah suai reka bentuk belon udara berkenaan menjadi lebih kecil daripada saiz biasa, yang turut menyaksikan dia terpaksa duduk di atas tangki gas.

"Peluang seperti ini berlaku sekali dalam seumur hidup. Ini satu ekspedisi yang amat sukar. Anda perlu pastikan belon udara dan cuaca baik.

"Saya tidak rasa ada orang lain yang sanggup melakukan aksi berbahaya seperti ini lagi," jelasnya, sambil menambah usaha berkenaan mendapat bantuan daripada Lembaga Pelancongan Croatia.

Ekspedisi pemanduan belon udara panas tersebut yang diinspirasi daripada buku Journey to the Centre of the Earth tulisan Jules Verne berlangsung selama 25 minit.


Trifonov sebelum ini pernah mencatat nama dalam Guinness Book of Records selepas memandu belon udara panas ke Kutub Selatan, Kutub Utara, merentasi Laut Mediterranean selain menjadi orang pertama berdiri, menyelam dan terbang di Kutub Utara dalam masa 12 jam.

Sementara itu, Lembaga Pelancongan Croatia berharap aksi mencabar yang dilakukan oleh Trifonov dapat menarik perhatian ramai pelancong untuk datang ke negara ini bagi menikmati keindahan pemandangan.

Related Posts