Dimanakah Pija Mentor Sekarang?

shares |


Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin mula melakar namanya dalam industri hiburan tempatan selepas menjuarai program realiti nyanyian, Mentor musim pertama pada tahun 2005.

Gadis kelahiran Sabah ini merupakan protege kepada penyanyi yang popular dengan lagu ‘Hijau’, Zainal Abidin.

Sewaktu program Mentor, Pija bersaing dengan tujuh lagi protege lain iaitu Alynn (Hattan), Dewi (Liza Hanim), Nabil (Nora), Biella (Noraniza Idris), Fahmi (Siti Nurhaliza), FO’3 (Cat Farish) dan Yanie (Ning Baizura).

Pada malam konsert akhir, Pija dipilih menjadi juara dan berjaya membawa pulang kereta Proton Gen-2, wang tunai RM20,000, dua tiket pergi balik ke Los Angeles dan sebuah motosikal Demak sebagai hadiah utama.

Selepas tamat program Mentor, Pija terus disambar oleh sebuah syarikat rakaman dan sempat merakamkan dua buah lagu berjudul ‘Luka’ dan ‘Pinokio Si Romeo’.

Walau bagaimanapun, tidak lama selepas itu, nama Pija secara perlahan-lahan mula tenggelam. Menafikan dirinya ‘hilang’, Pija memberitahu antara faktor namanya tenggelam seketika kerana terdapat beberapa perselisihan faham antara syarikat rakaman serta pihak lain.

Namun pada penghujung 2008, Pija bangkit bagi membina kembali namanya dalam industri muzik tanah air. Menerusi pertemuannya dengan Datuk Wah Idris yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat rakaman Prima Music, Pija merakamkan sebuah album mini bersama kakaknya, Naufara.

Album tersebut memuatkan tiga buah lagu iaitu ‘Posh’, nyanyian duetnya bersama Naufara, ‘Terawal & Terakhir’ nyanyian solo serta lagu nyanyian Naufara berjudul ‘Julangkanlah’.


Selain itu, Pija juga pernah berduet bersama Caprice dengan lagu ‘Perjalanan’. Walaupun memiliki vokal yang mantap, namun perjalanan karier seni gadis berusia 25 tahun ini agak suram apabila Pija sukar menempatkan dirinya seiring dengan penyanyi yang ada sekarang.

Mungkin disebabkan tiada produk yang ‘kuat’ untuk mengekalkan namanya dalam industri, Pija sekali lagi dilihat menyepi.

Ekoran ‘kehilangannya’ selama beberapa bulan itu, timbul spekulasi kononnya gadis ini sibuk membuat persiapan pertunangannya. Sekitar April 2012, Pija melangsungkan majlis pertunangan di tempat asalnya di Sabah.

Biarpun tidak mendedahkan siapa gerangan tunangnya, namun nama protege kepada Adam AF, KJ telah dikaitkan sebagai tunangnya apabila tersebar gambar peserta Mentor musim keenam itu duduk bersebelahan Pija sambil mengenakan rona baju yang sama.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan Adam menafikan perkara itu dan memberitahu KJ atau nama sebenarnya Abdul Kadir Haji Unding Lana bukan tunangan kepada Pija.

Pija bukan sahaja menyorok mengenai majlis pertunangannya, malah turut merahsiakan majlis perkahwinannya yang berlangsung pada tahun ini. Dalam diam, Pija sudah mendirikan rumahtangga pada 21 Mac lalu bersama seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun, Datu Anwar Datu Amir Kahar.

Majlis pernikahan serta resepsi mereka diadakan di Kota Kinabalu, Sabah manakala pada 28 September lalu, pasangan ini mengadakan sebuah lagi majlis resepsi di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Berbulan madu di London pada April lalu, Pija turut berkongsi berita gembira yang dia kini hamil empat minggu.


Biarpun namanya hampir dilupakan peminat muzik tempatan, namun Pija memberitahu dia masih lagi aktif menerima undangan nyanyian. Terbaru, Pija menganggotai kumpulan Girls Republic yang diasaskan oleh penyanyi serta komposer Awi Rafael.

Selain Pija, Girls Republic turut dianggotai oleh Maisara dan model dari Singapura, Sarah Ann. Bakal bernaung di bawah pengurusan syarikat Warner Music, kumpulan ini turut memperkenalkan single pertama mereka, ‘Kau Lelaki Ego’.

Related Posts