Anak TPM, Najwa Muhyiddin Rancang Nikah Mac 2015

shares |


Penyanyi Najwa Mahiaddin memilih Mac 2015 sebagai bulan keramat untuk disatukan menjadi isteri kepada Idris Koh Heng Hui, 29, selepas mengikat tali pertunangan pada 8 Disember lalu.

Najwa yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan keluarga kedua-dua pihak yang mahu majlis berkenaan dipercepatkan.

“Alhamdulillah, kedua-dua keluarga tidak menghalang perhubungan kami. Lagipun, keluarga saya sendiri memang sudah lama kenal dengan Idris.

“Bila mereka tahu kami berkawan serius, mereka yang cadangkan supaya kami cepat-cepat tunang serta mendirikan rumah tangga,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusannya, JoePRC International di sini malam Khamis

Terdahulu majlis pertunangan Najwa, 28, dengan Idris telah berlangsung di kediaman keluarga wanita itu di Sri Satria, Putrajaya dengan dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan terdekat.

Pada majlis itu pihak lelaki memberikan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang oleh pihak perempuan.

Najwa turut menerima sebentuk cincin solitaire emas putih bertatah berlian sebagai simbolik pertunangan mereka.

Dalam pada itu Najwa memberitahu kagum dengan karektor yang dimiliki oleh bakal suaminya itu.


Kataya, Idris yang merupakan pemilik syarikat Le Koof Music dan pemuzik Bassement Syndicate seorang yang bertanggungjawab, mudah diajak berbincang serta sedia mendengar apa sahaja yang dikongsikan.

“Dia seorang yang amat bertanggungjawab, boleh mendengar apa yang saya kongsi atau luahkan dan senang untuk diajak berbincang atau berbicara.

“Kebetulan kami juga mempunyai visi yang sama di dalam muzik. Jadi, ia memudahkan lagi untuk kami berbincang atau merencana tentang hala tuju muzik dan apa jua bentuk persembahan,” kata Najwa.

Bercerita mengenai hubungan mereka Najwa menambah, dia mengenali Idris sejak tujuh tahun lalu tetapi hanya beberapa bulan kebelakangan ini mereka semakin rapat dan mula serius berkawan.

Tambah Najwa, keikhlasan Idris meluahkan perasaan terhadapnya membuatkan dia terbuka hati untuk menerima cinta pemuda itu.

“Segalanya bermula apabila dia (Idris Koh) meluahkan perasaan terhadap saya dan saya pula terfikir, mengapa tidak saya terima. Lagipun di kalangan rakan-rakan kami, memang ada yang bercinta dan kemudian mendirikan rumah tangga dengan kawan baik sendiri,” ujarnya yang telah menunaikan ibadah haji pada musim haji lalu.

Related Posts