Bakat Dewi Liana Diiktiraf Miss World 2014

shares |


BERBE­KALKAN vokal yang lunak dan mantap, Dewi Liana Seriastha, 25, berjaya memukau barisan juri di pertandingan Miss World 2014 apabila dinobatkan gelaran Miss Talent, menewaskan 120 peserta dari seluruh dunia ketika pusingan akhir yang berlangsung di Auditorium Exel, London, baru-baru ini.

Kemenangannya itu dalam membawa lagu Don Juan Triumphant yang merupakan lagu dari filem muzikal The Phantom Of The Opera sekali gus mengangkat nama Malaysia di mata dunia dan Dewi merupakan Ratu Cantik Malaysia yang pertama mendapat gelaran tersebut.

Dewi juga menyerlah dalam acara-acara lain yang berlangsung hampir sebulan itu membuatkan dia turut mendapat tempat ke 16 dalam acara berprestij di dunia itu.


Namun, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini bukan calang-calang orangnya kerana dia sendiri merupakan bekas protege Liza Hanim dalam rancangan realiti Mentor musim pertama pada tahun 2005 dan seorang pelajar tahun akhir di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang Muzik.

Cerita wanita tinggi lampai ini, lagu kemenangannya itu merupakan lagu kegemaran bapanya, Yudhi Seriastha dan Dewi mahu membawa lagu tersebut demi bapanya yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang pembabitannya dalam bidang seni.


Kekuatan vokal

“Saya tidak pernah menonton wayang atau teater Phantom Of The Opera dan kurang tahu tentang lagu tersebut tetapi ayah yang mencadangkan kepada saya untuk menyanyikan lagu tersebut kerana katanya ia sesuai dengan kekuatan vokal saya selain merupakan lagu kegemarannya.

“Saya berlatih lagu Don Juan Triumphant setiap hari bersama ayah saya sejak saya dinobatkan sebagai Miss World Malaysia pada 30 Ogos lalu sebagai antara persediaan ke London,” ceritanya ketika dihubungi, baru-baru ini.


Kelunakan suaranya juga membuatkan ada pengarah-pengarah muzik di London yang melahirkan rasa minat untuk membuat projek muzik bersama.

“Ia masih dalam perbincangan dan saya terharu kerana mereka menunjukkan rasa minat dengan bakat saya. Kami akan berhubung menerusi e-mel dan mana tahu saya boleh melebarkan sayap saya dalam bidang muzik ke peringkat antarabangsa selepas ini,” ujar pelantun suara single Kerinduan.

Tambahnya, selepas ini, selain terlibat dengan promosi dan aktiviti bersama Miss World Malaysia Organisation, dia juga ada merancang untuk keluar dengan single terbaru dan belum pasti untuk menerima lamaran syarikat rakaman atau bergerak secara sendiri.

Related Posts