Keadaan Datuk Mustapha Maarof Semakin Tenat

shares |


SENIMAN veteran, Datuk Mustapha Maarof, 79, dilaporkan semakin kritikal dan masih tidak sedarkan diri selama 10 hari sehingga semalam, kata Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli.

"Saya dimaklumkan oleh anaknya, Rizal, keadaan beliau masih lagi koma, namun tekanan darahnya stabil," kata Jurey.

Pada Khamis lalu, Jurey bersama wakil persatuan turut melawatnya di Unit rawatan Rapi (ICU), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM).

Ketika lawatan berkenaan, Jurey memberitahu, legenda seni itu hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

"Saya rasa bertuah kerana dapat masuk dan melihat sendiri keadaan beliau bersama Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.

"Sebenarnya, doktor tidak benarkan pelawat untuk masuk, namun atas jasa baik anaknya, kami diberi keizinan. Sayu hati melihat keadaannya kerana sebelum ini, saya sempat berjumpa ketika dia masih sihat.

"Difahamkan, sebelah paru-parunya sudah rosak dan sama-samalah kita doakan agar beliau kembali sihat seperti sedia kala," katanya yang turut menyumbangkan RM1,000 kepada bekas Presiden Seniman itu.

Pada 25 November lalu, seniman terkenal ini telah dikejarkan ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) selepas mengalami kesukaran bernafas ekoran komplikasi masalah paru-paru.

Setelah doktor pakar di IPR mengesahkan paru-paru sebelah kanannya gagal berfungsi, Mustapha atau nama sebenarnya, Azahari Maarof, 79, dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pada hari yang sama, beliau dipindahkan ke HATTM.

Related Posts