Kurang Undian Menjadi Punca Ekzos Tersingkir Di MLM2014 Minggu Ke-5

shares |


MENGEJUTKAN! Penyingkiran kumpulan Ekzos pada minggu kelima program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014, Jumaat lalu, di Dewan Teater Shah Alam, disebabkan undian rendah daripada penonton.

Biarpun persembahan mereka konsisten sejak awal lagi dan menerima pujian daripada juri, namun perjuangan mereka di pentas MLM berakhir bersama satu lagi kumpulan iaitu Wala.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Ekzos yang dianggotai Raja Azri, Jon LNJ dan Lie Cuit ini menganggap perkara tersebut bukan rezeki mereka.

Mewakili rakannya, Raja Azri berkata faktor kurang publisiti antara penyebab mereka kecundang pada malam itu biarpun prestasi mereka tidak pernah mengecewakan penonton.

“Saya akui nama kami bertiga tidak segah pelawak-pelawak lain di pentas MLM, apatah lagi kami masih baharu dalam bidang ini.

“Lagipun, saya sendiri bukan dari latar belakang ‘liga lawak’ tetapi bermula dengan lakonan filem dan drama serta pengarahan.

“Sama juga dengan Jon dan Lie. Kami bermula dengan kosong pengalaman untuk ceburi bidang baharu dunia seni. Dan kami tidak pernah menyesal menyertai MLM,” tuturnya.

Biarpun pertama kali menyertai MLM, Raja Azri menyifatkan kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangat juang Ekzos dan mereka bertiga bakal muncul dalam satu pementasan teater nanti.

“Walaupun kecundang di tengah jalan, kekalahan ini sebenarnya satu permulaan untuk kami memperkenalkan Ekzos kepada semua.

“Kami akan tetap bersama selepas ini. Lagipun kami akan muncul dengan satu projek istimewa tidak lama lagi,” ujarnya.

Bertemakan Bebas, pada malam itu Ekzos membawa kelainan dengan sketsa ‘penagih dadah dan penjual kasut’ yang mana lari daripada konsep kampung sebelum ini.

Walaupun persembahan dipuji juri tetap, Datuk Jalaludin Hassan, namun persembahan mereka tetap disifatkan kurang menyerlah berbanding peserta lain.

Persaingan semakin sengit

Dengan tema Bebas, persembahan 12 kumpulan rata-rata dipuji juri seolah-olah bangkit selepas dihentam dan dikritik hebat minggu lalu.

Kebanyakannya berjaya memukau penonton dengan persembahan yang cukup hebat dan punchline bernas.

Antara persembahan hebat yang menjadi tumpuan penonton dan barisan pihak juri adalah kumpulan Comey, Nabil, Shake dan Zero.

Lebih mengejutkan, buat pertama kali ramai peserta menerima lima bintang menerusi sketsa hebat mereka.

Juri tetap, Taufik Batisah menyifatkan minggu ini sebagai kebangkitan semula selepas persembahan peserta pada minggu ketiga dan keempat, tidak memuaskan terutamanya peserta favourite seperti Sepahtu, Shiro, Virus dan Jalor.

Katanya, prestasi meningkat melayakkan mereka menerima markah tertinggi, empat hingga lima bintang.

“Kami (juri) rasa sudah tiba masanya untuk beri peluang kepada kumpulan yang layak menerima lima bintang.

“Bermula dengan Comey, markah ini adalah sebagai semangat untuk mereka buktikan kebolehan terpendam di pentas berprestij ini,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Sepahtu telah mengumumkan, seorang lagi ahli mereka, Ilya Senario, terpaksa menarik diri dari menyertai MLM 2014 atas masalah kesihatan.

Minggu keenam pentas MLM 2014, menyaksikan 10 kumpulan iaitu Zero, Bocey, Sepahtu, Virus, Shiro, Jalor, SYJ, Shake, Comel dan Nabil akan bersaing bagi cabaran lebih hebat dengan tema Muzikal.

Related Posts