Majlis Bersanding Tetap Diteruskan Walaupun Banjir

shares |


KOTA BHARU - Persandingan dua pasangan adik-beradik tetap diteruskan biarpun terpaksa mengharungi banjir.

Pengantin lelaki, Suhairi Sudin, 25, dari Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian meraikan persandingan bersama Wan Norliana Wan Zain, 23, berasal dari Kampung Pulau Melaka, Kedai Lalat, di sini.

"Banjir bukan halangan, lagipun keluarga sudah membuat jemputan dan hasrat yang baik ini diteruskan.

"Lebih manis apabila kami dapat bersanding bersama adik, Nor Mudrikah Sudin yang juga kawan baik isteri semasa mereka sama-sama bekerja di kedai Ten Ten, Kubang Kerian suatu masa dulu," katanya kepada Sinar Harian, di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Nor Mudrikah, 20 pula bertemu jodoh dengan pasangannya, Mohd Arham dan selamat diijabkabulkan kelmarin.

Suhairi mengakui terpaut hati dengan Wan Norliana apabila sering menghantar dan mengambil adiknya dari tempat kerja di Kubang Kerian, lalu mencetuskan perkenalan yang membawa jodoh mereka hingga jinjang pelamin.

"Bersanding dalam banjir ini pasti menjadi kenangan kepada kami suatu hari nanti.

"Biarpun hampir separuh jemputan tidak dapat hadir kerana Kelantan mengalami banjir terburuk, namun kami faham situasi mereka yang tidak dapat bersama kami, " katanya yang menjadi juruteknik di Kelantan dan mengambil keputusan mengikut isteri yang bekerja di Jabatan Penilaian Harta di Pulau Pinang.

Katanya, biar apapun bencana yang datang, jika majlis yang dirancang boleh diteruskan, ia perlu disempurnakan asalkan mereka menemui kebahagiaan. -sinarharian

Related Posts