Pencetus Ummah 2: Siapa bakal juara?

shares |


SETELAH berhempas pulas selama enam minggu di pentas rancangan realiti bercorak Islamik, Pencetus Ummah Musim Kedua (PU 2), kini debaran kian dirasai oleh empat finalis ini.

Siapakah di antara PU Yusof, PU Azman, PU Faiz dan PU Lokman yang dapat mengekalkan momentum yang ada sebelum ini untuk terus melangkah setapak lagi meraih gelaran juara?

Menyelak latar peribadi setiap finalis yang dipilih, pastinya mereka bukanlah calang-calang peserta.

Hadir dengan pelbagai latar belakang dan pengalaman tersendiri, pastinya mereka saling bersaing secara sihat antara satu sama lain.

Malah, saat penulis bertanya siapakah pencabar utama di antara mereka, masing-masing memberitahu bahawa setiap daripada mereka adalah pencabar dan memiliki kelebihan tersendiri.

Kesempatan yang ada ketika mereka mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, pada Jumaat lalu, barisan finalis ini turut tampil berkongsi serba sedikit mengenai perancangan dan persediaan untuk melangkah ke pentas final Khamis ini, jam 9 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Ikuti temubual yang telah disusun Zass bersama mereka.

Tambah baik perpustakaan- PU Yusof

Memiliki senyuman yang manis, pemilik nama Mohd Yusof Arbain, 34, ini, pastinya memiliki kelompok peminat yang tersendiri.

Berjaya melangkah ke pentas final, PU Yusof berharap agar diberikan kesihatan yang baik di sepanjang tempoh ini untuk terus berjuang.

Menurutnya yang memegang peranan sebagai pakar perunding, tekanan yang dirasai lebih kurang sama dengan minggu-minggu yang terdahulu.

“Untuk final, setiap peserta diberi tiga tugasan termasuk satu tugasan yang memerlukan kami berkolaborasi bersama. Saya bakal bergandingan bersama PU Azman.

“Sepanjang berada di PU 2, saya cuba lakukan yang terbaik demi usaha dakwah saya kepada masyarakat.

“Menang atau tidak, saya tetap akan meneruskan usaha dakwah ini namun, sekiranya kemenangan menjadi milik saya, saya ingin menambah baik perpustakaan saya dengan suasana yang lebih selesa dan mempelbagaikan lagi bahan-bahan bacaan lain,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Al-Quran & As-Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM) ini.

PU Faiz bukan sekadar tempelan

Hampir setiap persembahannya di minggu-minggu terdahulu mendapat pujian daripada barisan juri.

Namun, PU Faiz tidak menganggap ia sebagai satu bonus untuk dia melangkah dengan bergaya ke pentas final.

Akui pemilik nama sebenar, Ahmad Faiz Hafizuddin Alias, 25, yang berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang ini, dia tidak pernah menyangka akan berada di ‘pertarungan’ akhir itu.

Antara finalis termuda, PU Faiz yang juga penulis buku memberitahu, faktor usia dan pengalamannya dalam bidang dakwah ini membuatkan dirinya merasa terlalu kerdil untuk dibandingkan dengan finalis lain.

“Sejujurnya saya tidak menyangka boleh berada sampai ke tahap ini kerana abang-abang saya di PU hebat-hebat belaka.

“Namun, apabila nama sudah dipilih mara ke peringkat seterusnya, saya bersyukur dan pada masa yang sama, saya perlu buktikan kehadiran saya bersama finalis lain bukan sekadar tempelan.

“Saya sentiasa menjadikan abang-abang PU sebagai rujukan di setiap tugasan dan yang penting, tanggungjawab yang diberi di pentas final akan saya lakukan yang terbaik,” katanya yang turut menggunakan loghat Kelantan dalam persembahannya.

PU Azman dekati golongan muda

Bagi PU Azman pula, berjaya disenaraikan sebagai finalis bukanlah tiket untuknya mengejar gelaran juara semata-mata.

Menurut pemilik nama sebenar, Azman Syah Alias, 33, dia tidak meletakkan soal nombor dan kemenangan dalam usaha meluaskan dakwahnya.

“Sebenarnya, Allah SWT sudah menetapkan siapa juara dan nombor dua, tiga serta empat.

“Walaupun apapun keputusan pada malam berkenaan, saya terima dengan hati yang terbuka. Saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk itu kerana fokus utama saya adalah menyebarkan dakwah.

“Golongan sasar saya adalah generasi remaja dan saya akan berusaha dekati mereka dan bawa mereka keluar dari kepompong gejala yang boleh merosakkan diri,” katanya yang juga bergelar pakar motivasi remaja.

Atasi kekangan masa- PU Lokman

Sementara itu, bagi Mohd Lokman Ahmad, 29, atau lebih dikenali sebagai PU Lokman, dia mengakui semakin hampir di pentas final, semakin kuat debaran yang dirasai.

Tidak meletakkan apa jua sasaran untuk bergelar juara, dia berharap agar tahap kesihatannya berada dalam keadaan yang baik.

Menurut Imam Masjid di Indera Mahkota, Pahang, ini, cabaran yang paling dirasai adalah dari segi kekangan masa.

“Sejak menyertai PU 2, rutin harian saya juga turut berubah. Contohnya, kalau dulu saya tidak tidur pada waktu pagi, kini saya perlu berbuat demikian untuk mengumpulkan tenaga.

“Malah, saya sentiasa curi masa untuk mentelaah tugasan dan menghafalnya jika ada masa terluang. Masa yang ada sangat singkat.

“Namun, semuanya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa. Menang atau kalah, saya terima dengan hati yang terbuka. Yang penting, saya sudah lakukan yang terbaik,” katanya yang kini mengambil cuti tanpa gaji dari tugasannya untuk memberi keutamaan kepada program ini. -sinarharian

Related Posts