Peserta MLM2014 Ditegur Datuk Jalaludin Hassan

shares |


KUALA LUMPUR: Pelakon dan juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2014, Datuk Jalaluddin Hassan akui sedikit kecewa dengan persembahan yang ditampilkan sesetengah kumpulan yang dilihat sedikit hambar dan ‘syok sendiri’.

Menurut Datuk Jalaluddin Hassan, tema mingguan yang diberikan bukan alasan utama atau penyebab peserta tidak mampu menyerlah di atas pentas MLM 2014.

“Saya rasa tema bukan alasan untuk mereka tidak begitu menyerlah seperti apa yang berlaku di minggu-minggu sebelum ini. Mereka harus berfikir di luar kotak untuk mencari idea-idea yang bernas dan tidak berada dalam keadaan selesa kerana mempunyai sokongan peminat yang kuat.

“Saya tak mahu mereka syok sendiri. Jika mereka berlatih sebagai satu kumpulan, mereka mampu hasilkan sebuah idea yang bagus untuk dijadikan sebuah persembahan yang cukup hebat buat para penonton.

“Pilih satu idea yang boleh dibawa ke pentas dan pasti akan ada kelainan untuk persembahan yang seterusnya dari minggu ke minggu,” ujar Datuk Jalaluddin Hassan.

Tambah Datuk Jalaluddin Hassan lagi, teguran yang diberikan oleh kumpulan Jalor mengenai persembahan mereka yang membawakan pakaian tradisional dan kebangsaan lelaki iaitu ‘Baju Melayu’ seharusnya harus dipandang serius.

“Ya betul lawak untuk orang ketawa, tetapi seperti kebebasan bersuara kita bebas untuk bersuara tetapi ada had-had tertentu. Mereka harus peka dan perlu menjaga sensitiviti rakyat Malaysia yang menonton program MLM 2014.

“Pastikan lawak mereka bijak. Jangan perkotak-katikkan hal agama, budaya dan kaum. Pada mereka mungkin lawak, pada sesetengah orang mungkin tidak,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Taufik Batisah mengakui sedikit kecewa dan terperanjat dengan persembahan sesetengah kumpulan yang dilihat tidak begitu menyerlah walaupun tema ‘Parodi’ sebenarnya mampu memberikan kelainan dalam persembahan.

Tema parodi sebenarnya adalah ‘makanan’ mereka kerana macam-macam benda boleh dikaitkan. Saya terperanjat dan secara jujur agak kecewa dan yakin mereka mampu buat lebih baik dari minggu sebelumnya.

“Alhamdulillah tiada penyingkiran yang berlaku minggu ini. Jadikan ianya satu ‘wake up call’ untuk buat yang terbaik di minggu hadapan dan jadikan jalan cerita lebih padat penuh dengan ‘punchline’,” ujar Taufik.

Tema parodi di minggu keempat program Maharaja Lawak Mega 2014 yang berlangsung minggu lalu memberi pelbagai kejutan terutamanya persembahan yang cukup hebat oleh kumpulan Zero dan Bocey selain teguran ‘pedas’ yang diberi kepada kumpulan Jalor oleh Datuk Jalaluddin Hassan.

Sumber artikel: astroawani.com.

Related Posts