Piala FA 2015: Laluan Mencabar Buat Pasukan Pahang Dan Felda United

shares |


JUARA dan naib juara Piala FA, Pahang dan Felda United FC (FUFC) berdepan laluan getir pada aksi pusingan pertama Piala FA 2015.

Pada majlis undian di sebuah hotel terkemuka di sini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah, Pahang akan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala FUFC berdepan pasukan Selangor yang pernah menjuarai Piala FA sebanyak lima kali.

Juara Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menentang Sabah pada pusingan pertama Piala FA yang bermula Februari tahun depan.

Bagi pusingan kelayakan pula, skuad Harimau Muda C (bawah 19 tahun), pasukan Kuala Lumpur, DRB-Hicom FC dan Selangor PKNS FC akan berentap untuk merebut tempat ke pusingan pertama dan dijadual menentang MOF FC dan JDT II yang telah menempah tempat masing-masing.

Afandi yang ditemui pemberita selepas majlis undian itu berkata saingan Piala FA 2015 diharap dapat ditamatkan selewat-lewatnya pada bulan Ramadan (1 Ramadan dijangka 18 Jun) tahun depan bagi memudahkan badan induk itu membuat perancangan pertandingan bola sepak yang lain.

Bermula tahun ini, FAM turut mengubah format pertandingan dengan juara dan naib juara perlu bersaing dalam pusingan pertama berbanding tahun sebelumnya ekoran pertambahan pasukan yang bersaing.

Sebanyak 34 pasukan akan beraksi bagi musim depan berbanding 30 pasukan sebelum ini.

Daripada 34 pasukan itu, sebanyak 12 pasukan berentap dalam Liga Super dan Liga Perdana manakala selebihnya bersaing dalam Liga FAM.

Badan induk itu bagaimanapun masih mengekalkan format kalah mati bagi pusingan awal kejohanan sebelum aksi timbal balik bagi peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Related Posts