Rakyat Kelantan Terus Cemas

shares |


KOTA BHARU - Rakyat negeri ini dilihat terus cemas dan kelam-kabut apabila terpaksa melakukan pelbagai ikhtiar untuk mencari tempat perlindungan dan makanan ekoran bencana banjir yang kini memasuki hari ke-13.

Dalam masa sama, dianggarkan kira-kira 175,000 penduduk di negeri ini juga kini menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terutama selepas Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menghentikan operasinya di kebanyakan loji berikutan gangguan elektrik.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, orang ramai berpusu-pusu ke kedai runcit mahupun pasar raya di daerah ini sehingga ke Pasir Puteh untuk mendapatkan bekalan makanan, air bersih dan petrol.

Selain itu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini juga kelihatan sesak apabila orang ramai dilihat membuat pembelian tiket di saat-saat akhir untuk keluar dari negeri ini.

Bencana banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan terus meningkat mendadak iaitu kepada 81,923 orang daripada 20,177 keluarga di 254 pusat pemindahan berbanding 45,467 orang semalam.


Tumpat menunjukkan peningkatan jumlah pemindahan mangsa tertinggi iaitu kepada 26,000 daripada 6,500 keluarga diikuti Kota Bharu (24,034 orang), Pasir Mas (12,332 orang), Kuala Krai (5,200), Gua Musang (5,150), Machang (4,039), Tanah Merah (3,546), Jeli (1,430) dan Pasir Puteh (192).

Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning beserta angin kencang yang dijangka berlaku di negeri ini dari Isnin hingga 31 Disember ini.

Beberapa sungai seperti Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Kusial mula menunjukkan tanda-tanda penurunan manakala Sungai Golok di Rantau Panjang pula menunjukan trend mendatar dan adakala meningkat.

Related Posts