Skuad Bolasepak Kelantan Tetap Gigih Berlatih

shares |


FENOMENA banjir buruk yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya Kelantan tidak menghalang persiapan pasukan The Red Warriors dalam menghadapi musim baharu Liga Super yang dijadualkan bermula Februari depan.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, pasukan mereka sudah mula menjalani latihan di Kota Bharu bermula semalam dan meneruskan fokus menghadapi saingan liga akan datang.

“Buat masa ini, pemain sudah kembali menjalani latihan selepas diberi pelepasan selama empat hari berikutan banjir yang melanda Kelantan.

“Kami mengharapkan cuaca kembali elok supaya sesi latihan pramusim dapat diteruskan dan segala persiapan tidak lagi tergendala.

“Kami masih lagi kekal berlatih di Kota Bharu selagi keadaan mengizinkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, pasukan tidak dapat berlatih di dalam stadium berikutan situasi yang tidak mengizinkan ditambah keadaan yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Sekarang ini, padang di Stadium Sultan Muhammad IV dipenuhi lumpur dan kami hanya berlatih di lokasi lain seperti sebelum ini.

“Apa yang saya harapkan agar keadaan segera pulih dan stadium tersebut dapat digunakan apabila bermulanya saingan liga Februari nanti,” ujarnya.

Sebelum ini, pasukan Kelantan menjalani latihan di Padang Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian dan Padang MARDI di Pasir Tumboh.

Menurutnya, kerosakan yang berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV itu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat minggu untuk pulih seperti sedia kala.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kepada Kosmo!, keadaan semua pemain baik dan masing-masing bersedia menjalani latihan mengikut jadual yang ditetapkan.

Related Posts