Artis Turun Padang Membantu Mangsa Banjir

shares |


PRIHATIN dengan nasib mangsa banjir di Pantai Timur mendorong Pertubuhan Kebajikan Artis Artis Pelapis (Perkap) menghulurkan sumbangan dengan mengadakan kutipan amal di hadapan Pasar Raya Giant Kecil, Kelana Jaya selama tujuh hari berturut-turut mulai 29 Disember lalu dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Presidennya, Hazmimi Johar memberitahu, kutipan sumbangan itu akan dibawa dengan kenderaan pacuan empat roda yang ditaja oleh Datuk SM Azli Tan Sri SM Nasimudin melalui Green Oranges Sales & Services Sdn Bhd sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.

"Matlamat utama kita adalah untuk meringankan beban mangsa yang teruk dilanda banjir terutamanya di kedua-dua negeri ini dan ia merupakan sedikit sumbangan sebagai tanda simpati kepada mereka.

"Kami sangat berbesar hati apabila ada syarikat swasta yang mahu menaja kami untuk membawa kutipan sumbangan berkenaan," katanya kepada Zass.

Tidak bersendirian, kutipan amal itu sebaliknya turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kelana Jaya selain daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Lebih menarik, kata Hazmimi lagi, kutipan amal itu turut dimeriahkan dengan pembabitan barisan artis terkenal seperti Datuk Hattan, Nash, Nassier Wahab, Rohana Jalil, Nas Kilauan Emas dan Abon.

"Ini bagaikan satu kejutan apabila barisan artis ini mahu terlibat sama dalam program kutipan amal ini.

"Tidak dapat dinafikan, penglibatan artis ini sedikit sebanyak mampu menarik perhatian orang ramai untuk menghulurkan sumbangan," katanya sambil memberitahu sumbangan sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Malah, Hazmimi yang juga penerbit memberitahu, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran kutipan.

"Berapa saja kutipan yang diterima, kami akan menyalurkan kepada mangsa-mangsa banjir. Oleh sebab itu, kami merasakan lokasi ini sangat strategik kerana orang ramai boleh membeli belah di pasar raya berkenaan sebelum menghulurkan sumbangan mereka.

"Lagipun, selain wang tunai, kami turut menerima sumbangan orang ramai dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, selimut, pakaian, tuala, lampin bayi dan tuala wanita," katanya. -sinarharian

Related Posts