Awie Yakin Sijil Nikah Bersama Isteri Sah

shares |


MAHKAMAH Tinggi Syariah hari ini diberitahu vokalis kumpulan Wings, Awie yakin sijil nikahnya bersama isteri, Rozana Misbun yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam adalah sah sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.

Peguam Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berhujah anak guamnya tidak mempunyai pengetahuan, sijil nikah itu palsu dan beliau tidak pernah menyembunyikan perkara itu daripada sesiapa.

"Sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka, tidak pernah timbul isu pernikahan mereka didaftarkan atau tidak dan sijil nikah itu tidak pernah disembunyikan oleh anak guam saya, sebaliknya disimpan di dalam almari di kediaman mereka di Taman Ukay Bistari, Hulu Klang," katanya sambil menambah anak guamnya itu yakin sijil nikah bersama isteri adalah sah.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata anak guamnya tidak menafikan kenyataan yang diberi oleh bekas pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang Yusoff Abu Bakar pada prosiding lepas bahawa sijil nikah itu palsu kerana apa yang dinyatakan oleh saksi itu adalah fakta di sebelah pihak Rozana.

Mohd Zaidi berkata, Awie tidak tahu sijil nikah itu palsu semasa permohonan hadanah (hak penjagaan anak) dibuat dan tidak timbul isu anak guamnya menipu dalam kes itu.

"Mahkamah juga mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes hadanah yang dipohon penyanyi itu kerana apa yang penting tiga orang anak itu adalah anak kandung kepada pasangan berkenaan dan ia disahkan melalui sijil kelahiran mereka," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata mahkamah juga perlu menolak permohonan Rozana untuk mengetepikan perintah hak jagaan sementara ke atas tiga anak mereka yang diperoleh Awie pada 21 Julai tahun lepas.

Dalam hujahannya, peguam syarie itu berkata anak guamnya mendakwa isterinya itu mengamalkan perbuatan khurafat dan perkara tersebut disedari setelah beliau (Awie) mengalami sakit misteri sehingga beliau pergi berubat dengan seorang ustaz yang juga merupakan pengamal perubatan tradisional di Durian Tunggal, Melaka.

Sementara itu peguam Jamal Lokman Mohd Sulaiman yang mewakili Rozana berhujah bahawa dakwaan anak guamnya (Rozana) mengenai sijil nikah itu palsu, adalah benar dan mereka juga telah memanggil saksi untuk mengesahkannya selain memohon hak penjagaan ketiga-tiga anak itu dipulangkan kepada Rozana.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain kemudiannya menetapkan esok untuk keputusan kes itu. Rozana hadir pada prosiding kes itu hari ini.

Pada awal Disember tahun lepas, Rozana, membuat laporan polis dan mendakwa sijil nikah mereka yang dikeluarkan Pejabat Agama Daerah Bukit Mertajam sembilan tahun lepas adalah palsu.

Awie yang merupakan pelakon filem 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' bernikah dengan Rozana di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 dan dikurniakan tiga anak - dua lelaki dan seorang perempuan.

Pada 4 Julai tahun lepas, Awie didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Hulu Klang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas. - Bernama

Related Posts