Bekas Isteri Jimmy Shanley Dipenjara

shares |


Bekas isteri pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 35, dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebentar tadi kerana dengan sengaja ingkar perintah mahkamah berhubung hak lawatan dan bermalam anak pasangan itu.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man mengarahkan hukuman ke atas Nursuhaila Eliani Suhaimy, 29, bermula hari ini.

Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 dan mula tinggal berasingan selepas 20 hari pernikahan mereka atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu kemudian sah bercerai pada Oktober 2012.

Dalam penghakimannya, Mawardi berkata, mahkamah menolak surat tunjuk sebab yang dikemukakan wanita itu kerana tiada dokumen sokongan dan bukti kukuh.

"Keterangan respondan (Nursuhaila), juga tidak konsisten. Alasan sakit dan tidak memberi anak kepada pemohon (Jimmy) tidak dapat diterima mahkamah," katanya.

Menurutnya, mahkamah terkejut dengan alasan mendapat tegahan daripada bapa respondan untuk tidak menyerahkan anak tersebut.

"Arahan mahkamah perlu diikuti selagi tiada perintah penggantungan.

"Selesaikan pertelingkahan dengan bijaksana agar tidak memberi kesan kepada anak," katanya.

Sebelum ini, Jimmy memfailkan perintah komital (pemenjaraan) terhadap Nursuhaila selepas anak kepada pengasas produk kecantikan itu gagal menyerahkan Zahra Rania Shanley, 4, pada tiga tarikh iaitu16 hingga 18 April, 23 hingga 25 April, dan 30 April hingga 2 Mei 2013.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanakan hukuman itu dengan jaminan ibunya, Datin Muniroh Kassim.

Terdahulu peguam, Saadiah Din yang mewakili Nursuhaila membuat rayuan penangguhan hukuman itu manakala peguam, Mohd Noor Aizan yang mewakili Jimmy tidak membantah permohonan itu.

Saadiah juga memaklumkan anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan Syariah di sini dalam tempoh terdekat.

Related Posts