Caliph Buskers Berjaya Tawan Hati Penonton

shares |


SIAPA sangka, persembahan Mojo dan Caliph Buskers menerusi Romancinta di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) malam tadi berjaya menambat hati penonton dan rakyat Malaysia.

Persembahan menyentuh hati itu membuatkan Mojo dan Caliph Buskers menerima tepukan tanpa henti dan usai membuat persembahan, semua penonton di Stadium Putra Bukit Jalil bangun untuk memberikan tepukan.

Malah, persembahan tersebut juga berjaya trending di laman sosial dan menjadi bualan mulut rakyat Malaysia yang rata-ratanya memuji persembahan Mojo dan Caliph Buskers.

Sejak kontroversi melibatkan pertukaran vokalisnya, ramai yang ternanti-nanti siapakah yang bakal menyanyikan Romancinta di pentas AJL29 dan malam tadi, Mojo membuatkan penonton dan juri terpesona hingga dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik.

Edry Abd Halim selaku ketua kumpulan Mojo akui malam tadi sebagai bukti bahawa kekuatan lirik lagu Romancinta itu boleh dibawa oleh mana-mana penyanyi yang layak.

"Tak pernah dapat 'standing ovation. Saya terkejut. Sampaikan Mojo dan Romancinta 'trending' di Twitter.

"Sebelum ini ramai yang tanya tentang siapa pengganti tapi malam ini (tadi) kita buktikan kekuatan lirik dan lagu itu boleh dinyanyikan oleh pelbagai penyanyi yang layak," katanya.

Mengulas lanjut, Edry memberitahu ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan mereka menangis menonton persembahan daripada Mojo dan Caliph Buskers.

"Ramai yang tersentuh dan ada kawan-kawan SMS beritahu mereka menangis dengan persembahan itu. Saya faham sebab apabila Azmi (vokalis Caliph Buskers) angkat tangan, saya pun terkedu dan gementar nak teruskan persembahan. Saya sendiri dapat rasa.

"Ini (Caliph Buskers) bakat yang sebenar...yang menyanyi dari hati," katanya.

Menurut Edry, dia jatuh hati dengan persembahan Caliph Buskers di hadapan Sogo hingga membuatkannya bertindak melamar kumpulan itu untuk bersama-samanya menyanyi di pentas AJL29.

Pemilik nama Khairul Azmi Mohd Saat, 28 merupakan anak muda yang cacat penglihatan namun memiliki suara yang hebat.

Akui masih tidak percaya, dia bersama kumpulannya, Caliph Buskers yang dianggotai lima ahli lain yang turut mempunyai kekurangan sama telah membuat persembahan di pentas AJL.

"Syukur sangat atas kemenangan ini. Memang tak sangka boleh menang.

"Malah sampai sekarang saya tak percaya telah berada dalam AJL. Gementar memang ada tapi saya cuba buat yang terbaik," katanya.

Edry turut mendapat lampu hijau dari Norman Abd Halim merancang untuk merekrut kumpulan itu dan menciptakan single buat mereka dalam masa terdekat.

Related Posts