Dayang Nurfaizah Dapat Pujian Melambung

shares |


PENYANYI Di Pintu Syurga, Dayang Nurfaizah mendapat pujian ketua juri yang juga komposer terkenal, Azmeer melalui persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung malam semalam.

Azmeer meletakkan Dayang sebagai penyanyi yang mempunyai nada sempurna ketika menyampaikan lagu Di Pintu Syurga hasil karya Tam Spider sebagai komposer dan liriknya yang ditulis Iman Imran.

Malah Azmeer turut memberitahu, penyanyi baru, Indah Ruhaila yang menyampaikan lagu Percayalah mempunyai nada yang hampir sempurna.

"Di antara penyanyi yang boleh menyanyi dengan hebat malam ini (tadi) ialah Indah Ruhaila tetapi Dayang menang kerana keikhlasan nyanyiannya dan bahagian dia menyanyi tanpa muzik itu bukan mudah nak nyanyi.

"Di situ, dia membuktikan bahawa dia adalah 'pitch perfect singer'. Dia skor di situ. Indah memang hampir sempurna," katanya pada sidang media selepas pengumuman pemenang AJL29 selesai.

Sementara itu, Dayang mengakui tidak percaya ketika namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Vokal Terbaik untuk AJL kali ini.

"Dayang bersyukur sangat. Memang itu (vokal terbaik) yang dinantikan sebagai penyanyi. Ketika nama pemenang Vokal Terbaik AJL29 dipanggil, Dayang kata 'biar betul ni?'.

"Alhamdulillah apa yang diusahakan selama ini berbaloi," katanya.

Dayang turut memenangi tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM12,000 bagi pemenang Vokal Terbaik.

Pentas AJL29 kali ini menyaksikan lagu Apa Khabar nyanyian Sona One dan Joe Flizzow diangkat sebagai juara menewaskan 11 lagu-lagu lainnya.

Related Posts