Firman AF2014 Hantar Ibu Dan Ayah Ke Makkah

shares |


Lagu Di Pintumu ciptaan komposer terkenal Datuk M Nasir membawa impak besar dalam karier nyanyian juara Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) Firman Bansir.

Pemilik nama sebenar Mhd Firman Bansir, 26, yang juga anak jati Tawau, Sabah ini mengakui kehidupan suram pernah dilaluinya sudah berakhir.

Firman berkata, kemenangan dalam AF2014 lalu cukup bermakna buat dirinya untuk membina kehidupan lebih baik buat ibu bapa dan keluarga tersayang.

“Memandangkan saya bukan datang daripada keluarga senang, kemenangan di kemuncak AF2014 itu adalah kenangan paling indah pernah dialami.

“Apatah lagi, dengan kemenangan itu saya berpeluang menunaikan impian ibu bapa yang mahu mengerjakan umrah.

“Jika segala perancangan berjalan lancar, bapa saya Bansir Aban, 60, dan ibu, Painah Tambanan, 57, dijangka berangkat ke Makkah bulan depan,” katanya.

Firman berkata, selain itu dia juga merancang menunaikan impian ibu bapanya untuk melaksanakan ibadah haji selepas umrah.

“Saya akan pastikan dua impian besar ibu bapa ini dapat ditunaikan lebih dulu sebelum memikirkan untuk mengubah suai rumah di kampung.

“Bagi saya, keadaan rumah di kampung pun masih lagi baik untuk keluarga terus berteduh dan tiada sebab juga pengubahsuaian menyeluruh perlu dilakukan.

“Lagi pun, dalam keadaan masih baru membina nama sebagai anak seni saya perlu berpijak di bumi nyata untuk meningkatkan usaha mencari peluang menyerlahkan bakat,” katanya.

Mengulas mengenai sekerap mana dia balik ke Sabah bertemu ibu bapanya sekarang, Firman berkata, dia bersyukur kerana kebanyakan tawaran persembahan nyanyian diterima di negeri kelahirannya itu.

“Kalau dulu, memang saya jarang balik ke kampung. Tetapi, sekarang jadi sebaliknya pula dan saya selalu balik selepas persembahan selesai.

“Syukur segala rindu yang terpendam selama ini kepada ibu bapa saya sudah terlerai. Bahkan, mereka (ibu bapa) pun sekarang semakin gembira dengan kejayaan saya,” katanya.

Firman, anak kelapan daripada 11 adik-beradik ini juga pernah menganggur dan tidak pulang ke kampung selama dua tahun gara-gara gagal memdapatkan pekerjaan meskipun dia memiliki Diploma Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Related Posts