Hanez Suraya Akui Kini Lebih Tenang

shares |


PELAKON cantik ini tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni tempatan.

Bukan kerana bakat lakonannya, sebaliknya kontroversi yang pernah melibatkan dirinya membuatkan dia menjadi tumpuan peminat.

Sehinggakan, apa sahaja yang dilakukan pelakon berusia 30 tahun ini terus menjadi perhatian daripada masa ke semasa.

Lebih-lebih lagi apabila terlibat dengan kontroversi bersama suami orang tahun lalu, dia menjadi mangsa kritikan dan kecaman sesetengah pihak.

Namun, 2015 menyaksikan semuanya berlalu dengan mudah bagi empunya nama Hanez Suraya Abdul Aziz ini.

Sementelah episod hitamnya berubah menjadi manis apabila bekas kekasihnya yang dikenali sebagai Romie Razin Adilha telah menjadi tunangannya kini.

Berbicara mengenai perkara itu, Hanez Suraya berkata, dia bersyukur kerana semua yang berlaku memberi seribu satu hikmah kepada kehidupannya.

“Alhamdulillah, sekarang saya rasa lebih tenang berbanding sebelum ini. Lebih-lebih lagi apabila sudah bertunang, ikatan kami akan menuju ke alam perkahwinan dan ia satu petanda yang baik,” katanya baru sahaja mengikat tali pertunangan bersama Romie minggu lalu.

Katanya, apa yang membuatkan dia menerima Romie kembali adalah kerana tunangnya itu bersungguh-sungguh mahu membuktikan rasa tanggungjawabnya kepada Hanez.

“Selepas apa yang berlaku, dia berasa lebih bertanggungjawab terhadap saya. Jika sebelum ini dia masih mempunyai komitmen dan terikat, tetapi kini selepas berpisah dengan isterinya, dia lebih bersedia bersama saya,” katanya.

Di aju pertanyaan bilakah majlis perkahwinan mereka akan berlangsung, jelas pelakon drama bersiri Suri ini, mereka akan mendirikan rumah tangga enam bulan lagi.

“Walaupun persiapan dan perbincangan antara dua keluarga belum dilakukan, tetapi kami sudah menetapkan untuk menjalankan majlis tersebut di Kuala Lumpur.

“Sebagai anak sulung dan ini perkahwinan pertama bagi saya, saya mahukan majlis tersebut berjalan dengan lancar.

“Keluarga juga menyerahkan kepada kami untuk menguruskan semuanya. Saya tidak impikan majlis yang besar, cukuplah sederhana dan sempurna. Bagaimanapun, hanya satu majlis akan diadakan bagi kedua-dua pihak,” ujarnya.

Buka buku baru


Sementara itu, akui Hanez, dia juga mahu melupakan semua yang berlaku sebelum ini dan membuka buku baru dalam kehidupannya.

“Saya tak nak fikir lagi perkara yang dah lepas. Sekarang saya perlu menjaga hati banyak pihak. Terutamanya keluarga tunang saya.

“Walaupun mereka sangat memahami tetapi saya tidak mahu menambah apa yang pernah berlaku.

“Bagi saya biarlah tahun ini menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik untuk saya, Romie dan keluarga kami,” katanya.

Ditanya mengapa dia mengambil keputusan memadam gambar-gambar yang pernah dimuat naik di laman sosial Instagramnya sebelum ini, kata Hanez, gambar-gambar tersebut juga pernah memberi kesan negatif kepada dirinya.

“Sebagai tunang orang, saya mahu lebih berhati-hati selepas ini. Apa yang akan saya lampirkan di laman sosial biarlah perkara yang sesuai dan baik sahaja.

“Termasuklah dari sudut kerja dan peribadi lebih-lebih lagi apabila Romie sudah mula menerima karier saya kini,” katanya mahu memastikan penampilannya tidak menjadi isu lagi.

Pada masa sama, Hanez bersyukur kerana pihak penerbitan dan syarikat televisyen mula menerimanya kembali.

“Sebenarnya banyak tawaran yang saya sudah terima sebelum 2015 lagi, tetapi saya tak berani nak cerita kerana masih belum mendapat surat hitam putih daripada pihak berkenaan.

“Bagaimanapun, saya akan lebih selektif untuk menerima sebarang watak atau skrip yang tidak bercanggah dengan kisah lalu,” katanya gembira kerana diberi peluang membetulkan keadaan.

Related Posts