Hazama Minta Kontroversi Artis Kpop Dijadikan Pengajaran

shares |


Penyanyi Hazama menganggap kontroversi aksi sumbang pada konsert kumpulan pop Korea (Kpop) B1A4 di Kuala Lumpur, pada 10 Januari lalu memberi pengajaran kepada semua pihak yang terlalu mengagungkan penyanyi luar negara.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 31, berkata, perkara tersebut turut membuka mata ramai terhadap kelakuan buruk penyanyi luar yang dahulu sering dipandang sebagai perkara biasa.

"Bagus juga bila perkara ini berlaku dan ramai pihak yang sedar tentangnya, dahulu lagi penyanyi-penyanyi luar sentiasa diberi kebebasan untuk bersentuhan dengan alasan mereka bukan Melayu dan beragama Islam.

"Kalau artis Malaysia buat tidak betul sedikit sahaja sudah macam-macam cacian diberikan oleh masyarakat. Selain itu, pihak artis luar negara perlu berhati-hati dan memahami sensitiviti masyarakat sebelum mereka datang membuat persembahan di negara ini," katanya.

Hazama berkata demikian ketika diminta mengulas pandangannya terhadap aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop bersama tiga peminatnya yang bertudung ketika di pentas konsert sehingga mencetuskan kontroversi dan ia menjadi viral dan hangat diperkatakan di laman sosial.

Sementara itu, Hazama berkata, seseorang artis perlu bijak mengawal peminat fanatik agar tidak bertindak melampaui batas.

"Saya pun ada peminat begitu yang ingin memeluk, tetapi saya cepat-cepat larikan diri. Ada juga orang dewasa yang saya anggap seperti ibu saya ingin memeluk kerana minat sangat tetapi saya cakap baik-baik agar tidak menguris hati," ujarnya.

Related Posts