Media Dilarang Buat Liputan Penyerahan Mayat Di Surabaya

shares |


Polis telah mengenakan larangan terhadap wartawan yang ingin membuat liputan proses penyerahan mayat mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) di Polda Jawa Timur, Surabaya.

Menurut Kompas.com, tindakan ini berikutan bantahan dari keluarga mangsa yang menginginkan proses itu dijalankan tanpa sebarang liputan oleh pihak media.

Jurucakap polis Jawa Timur, Komisioner Kanan Awi Setiyono berkata, beliau telah dimaklumkan perkara itu oleh keluarga mangsa sejak semalam (Jumaat).

"Oleh itu, mulai hari ini kami melarang pihak media untuk membuat liputan proses penyerahan mayat-mayat tersebut," katanya.

Sebelum ini proses itu dibuka kepada media untuk liputan, di mana ianya dilakukan setelah pihak DVI mendedahkan identiti mayat-mayat tersebut.

Sehingga hari ini, daripada 18 mayat yang telah tiba di pusat DVI Hospital Polis Bhayangkara, hanya empat telah dikenal pasti.

Mereka adalah Hayati Lutfiah Hamid, Grayson Herbert Linaksita, Kevin Alexander Soetjipto dan pramugara AirAsia Khairunnisa Haidar Fauzi.

Mayat Khairunnisa Haidar Fauzi selamat dikebumikan pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan melawat rumah Khairunnisa untuk menyerahkan sendiri jenazahnya kepada keluarganya.

Mayat beliau merupakan antara 10 dari kumpulan pertama yang ditemui di Laut Jawa dan merupakan antara 162 penumpang dan anak kapal penerbangan AirAsia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada Ahad.

Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Surabaya pada 5.20 pagi dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan menara kawalan trafik udara Jakarta pada 6.12 pagi waktu Indonesia.

Dari jumlah penumpang, 149 adalah dari Indonesia, tiga dari Korea Selatan, satu dari Singapura, Malaysia dan Britain. Dari jumlah anak kapal, enam dari Indonesia dan satu warga Perancis.

Related Posts