Villa Nabila: Dari Kisah Benar Hingga Ke Layar Perak

shares |


APABILA nama Villa Nabila disebut, pasti terbayang pelbagai kisah mistik mengaitkan banglo lama yang terletak di Johor itu.

Namun, pengarah muda, Syafiq Yusof bertindak berani membawa kru produksinya ke vila tersebut, tahun lalu.


Filem Villa Nabila memerlukan pelakon-pelakonnya melakonkan kembali berdasarkan kisah benar yang dikongsi oleh pekerja-pekerja kontrak yang ditugaskan untuk merobohkan rumah tersebut.

Pelakon terkenal, Pekin Ibrahim yang memegang watak Asyraf iaitu seorang kontraktor mengakui filem tersebut merupakan filem seram pertamanya yang benar-benar nyata berbanding filem-filem seram lain yang pernah dibintanginya sebelum ini.

“Watak Asyraf ini sememangnya wujud dan dilakonkan kembali. Saya jumpa Asyraf itu dan saya melihat perwatakan, kehidupan dan pekerjaan dia. Saya cuba lakonkan kembali perwatakan itu sehampir mungkin.

“Ini merupakan sebuah filem seram yang sangat-sangat ‘real’. Satu dokumentasi yang tidak pernah ada dalam filem Malaysia,” katanya.

Malah Pekin memberitahu, dia terpaksa mengetuk dinding dalam villa itu yang pernah diceritakan Asyraf sebenar kepadanya.

“Asyraf beritahu saya dinding ini yang diketuk dan jadi macam-macam dan dinding itulah yang saya kena lakonkan juga ketuk betul-betul.

“Dari babak pertama, setiap babak itu adalah ‘real’. Saya kena buat apa yang pernah jadi pada Asyraf dulu,” katanya.

Ceritanya lagi, meskipun dipantau oleh seorang ustaz selama 24 jam, namun Pelin akui masih lagi menghadapi kesukaran-kesukaran tertentu.

Manakala Tisha Syamsir yang memegang watak sebagai Huda, isteri kepada Asyraf berkongsi cerita di mana dalam babak digantung, Tisha telah muntah tanpa diketahui sebabnya.

“Masa babak digantung, mata Tisha pandang ke atas dan Tisha perlu menjerit seperti histeria. Ketika itulah Tisha ternampak kepulan asap di atas.

“Tisha minta berhenti, kemudian Tisha turun dan tiba-tiba terus muntah. Tisha tak tahu kenapa Tisha muntah. Jadi, kita takut benda lain pula jadi, kita semua balik dan sambung esoknya,” ceritanya.

Filem berkonsep dokumentari seram ini akan menemui penonton 15 Januari ini. -sinarharian

Related Posts