Zamani Minta Diberi Peluang Kedua

shares |


"SAYA mohon maaf kepada semua peminat. Berilah saya peluang kedua. Saya minta jangan ada (peminat) yang berpaling. Saya berazam untuk membersihkan diri dengan sokongan keluarga dan peminat..."

Demikian kata-kata bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim yang diberkas berkaitan kes dadah tetapi dibebaskan dengan jaminan polis ketika dihubungi semalam.

Zamani, 44, berkata, beliau kesal kerana telah merosakkan kepercayaan yang diberi oleh peminatnya selama ini.

Zamani sebelum itu mengadakan sidang media di Tetuan A.M Zaharil & Co, Kota Damansara sebaik dibebaskan daripada tahanan reman.

"Saya tahu selama ini pasti ada yang mendakwa saya mengambil barangan tidak elok, tetapi ada juga yang menepis dakwaan itu serta tidak putus memberi sokongan pada saya.

"Saya telah mengkhianati kepercayaan mereka (peminat) dan pada yang selama ini mempercayai dan menyokong saya, saya mohon maaf. Saya mahu berubah betul-betul kali ini.

"Saya sedia menghadapi segala hukuman selepas ini, sesiapa yang buat salah pasti menerima hukuman dan saya sedar kesalahan yang saya lakukan," katanya yang kelihatan agak letih.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Gerimis Mengundang itu turut memohon agar peminat terus memberi sokongan kepadanya.

"Saya masih sayangkan karier seni saya dan agak khuatir dengan perjalanan karier saya selepas ini. Namun andai diberi peluang kedua, saya sedia untuk kembali andai diberi peluang kedua selepas selesai kes ini nanti.

"Malah bergantung juga kepada pihak pengurusan sama ada mahu membantu saya lagi selepas ini," katanya.

Beliau berkata, dia tidak akan mengambil sebarang tindakan terharap individu yang merakamkan videonya dipaksa menyanyi dengan keadaan tangan bergari sehingga video berkenaan tersebar kepada umum.

"Saya sudah maafkan individu tersebut dan saya tidak akan mengambil tindakan kerana banyak pihak yang akan terlibat. Walaupun ia mengaibkan tetap perkara itu sudah terjadi.

"Saya tidak mahu menutup periuk nasi orang lain dan kesalahan saya biar saya hadapi sendiri," ujarnya.

Video Zamani ‘dipaksa’ menyanyi, tersebar luas di laman-laman media sosial, hingga mengaibkan dan menjatuhkan nama baiknya.

Namun, insiden tersebut juga mencetuskan rasa simpati dan kecaman orang ramai, yang mempersoalkan tindakan pegawai polis yang dikenal pasti merakam video berkenaan.

Pada sidang media itu, Zamani juga tidak mahu mengheret penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dalam kisah hidupnya termasuk pembabitannya dalam najis dadah.

Sebaliknya, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu menyifatkan apa yang berlaku kepada dirinya adalah takdir yang perlu ditempuhinya.

“Jangan salahkan mana-mana pihak. Benda ini tidak ada kena mengena dengan Siti Nurhaliza. Itu kenyataan Saari Amri. Tanyalah pada dia," ujarnya.

Beliau turut memohon maaf kerana bertindak kasar kepada beberapa jurugambar semasa di mahkamah tempoh hari.

Sementara itu pengurus Zamani, Johan Aziz berkata, dia amat berharap peminat Zamani terus memberi sokongan moral dan memaafkan penyanyi itu atas kesalahan yang dilakukan.

Katanya buat masa ini, dia akan memberi masa kepada Zamani untuk berehat dan menyelesaikan kes ini terlebih dahulu.

"Kami tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zamani. Tapi kami akan bantu untuk pulihkan dia kerana dia sendiri masih fikir dan sayangkan kariernya.

"Jadi selepas segalanya selesai, baru kita akan mula merangka perjalanan kariernya kembali," jelasnya.

Apabila ditanya tentang keadaan penyanyi itu, Johan berkata, Zamani berada dalam keadaan ceria namun perlu berehat sebanyak mungkin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuddin Saat mengesahkan Zamani dibebaskan dengan jaminan polis, selepas proses dokumentasi selesai pada kira-kira jam 9.45 pagi di Balai Polis Hulu Kelang dan remannya tidak disambung.

Zamani ditahan pihak polis kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin dalam satu serbuan di rumahnya di Taman Keramat, Ampang. -sinarharian

Related Posts