Ziha AF2014 Tampil Mohon Maaf

shares |


Baru nak membina nama dalam industri hiburan tanah air, Ziha yang juga bintang Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) sudah terpalit dengan cerita sensasi.

Semuanya kerana pemilik nama sebenar Nor Aziha Md Salleh, 20, ini ditegur peminat selepas tampil dengan pakaian jarang ketika muncul meraikan hari ulang tahunnya, baru-baru ini.


Bersua Ziha dalam satu majlis hiburan, gadis yang wajahnya seiras pelakon Yana Samsudin ini berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk mencipta kisah sensasi.

Katanya, dia memohon maaf kepada peminat dan berterima kasih kepada mereka yang memberi teguran itu kepadanya.

"Saya akui ia kesilapan sendiri kerana kadang-kadang memang terlepas pandang kehidupan masa kini yang sudah berubah.

"Jika sebelum menyertai AF 2014 dulu, saya hanya gadis biasa yang langsung tidak dikenali masyarakat. Jadi, apa yang saya pakai atau lakukan tidak menjadi perhatian.

"Namun, sekarang saya perlu akur dengan perubahan kehidupan dilalui apabila masyarakat akan ambil tahu setiap gerak geri saya," katanya. 


Apapun, Ziha berkata, mujur dia bukan seorang yang cepat melatah. Justeru, segala kritikan diberikan itu meskipun negatif dia menerima dengan hati terbuka.

"Nak kesal atau kecewa sangat dengan apa yang berlaku pun sudah tidak berguna. Apa yang mampu dilakukan hanya boleh menjadikannya sebagai iktibar. Kini, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih pakaian. Sudah semestinya saya tidak boleh membuat keputusan ikut suka hati saja," katanya.


Menurut Ziha lagi, dia juga tidak marah mahu pun berkeci hati dengan teguran diberikan peminat itu dan lebih gemar bersikap positif.

Ziha yang tersingkir pada minggu keenam persaingan AF 2014 lalu kini sudah mula membabitkan dirinya dalam bidang lakonan.

Related Posts