Ezad Exist didenda RM3,500 akibat dadah

shares |


Bekas vokalis kumpulan Exist, Ezad, hari ini didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dadah pada November tahun lepas.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri turut memerintahkan Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Ezad didenda RM2,200 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama selepas mengaku bersalah memiliki satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis Metaphitamine (syabu) seberat 0.62 gram di kawasan Kompleks Selayang Mall, Selayang Utama dekat sini pada 1.30 tengah hari, 19 November tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Ezad didenda RM1,300 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, selepas mengaku bersalah memasukkan dadah itu ke dalam badannya di Ibu Pejabat Polis Gombak di sini, kira-kira 2.30 petang pada hari dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Ezad, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana kerjayanya terjejas akibat kes itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S.Arunjothy memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal selain mengambil kira kepentingan awam. - Bernama

Related Posts