Rindu… Walau Pergi Baru Sehari – Tuan Sabariah

shares |


53 TAHUN terjalinnya ikatan perkahwinan dengan bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tentulah isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak merupakan insan paling merasai kehilangan figura itu.

Sehari selepas pemergian suami, Tuan Sabariah mengakui dia berasa amat rindu.

“Kini anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya.

“Walaupun baru sehari, saya mengakui sangat merindu beliau,” ujar wanita tabah itu dalam satu wawancara khas bersama akhbar Sinar Harian.


Bercerita lanjut dalam nada hiba, Tuan Sabariah berkata tiga hari sebelum pemergian Nik Aziz mengatakan sesuatu yang benar-benar merengut perasaannya.

“Nanti abang tak dok (meninggal dunia), lepas ni, sapo nak jago Yah?” kata Allahyarham kepadanya.

“Anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” tutur Tuan Sabariah menjawab persoalan arwah suaminya,

Walaupun berperang dengan sebak yang bersarang di dada saat itu, dia gagahi jua untuk tersenyum.

Ketika wawancara tersebut, wanita berusia 67 tahun itu mengakui kurung kain kapas warna krim bercorak bunga halus yang disarungnya adalah baju kegemaran arwah yang sering memuji ia sesuai dikenakan suri hatinya.

“Baju inilah yang Abang paling suka saya pakai.

“Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak tetapi tidak pula pernah melarang atau menegur sehingga saya berkecil hati,” imbaunya.

Menyelusuri kisah mereka Tuan Sabariah bercerita, dia pernah memakai baju pemberian rakan apabila suaminya menegur secara bergurau, “Yah nampak tua pakai macam tu… Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.”

Pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 1962 atas pilihan keluarga. Ketika itu, Tuan Sabariah berusia 14 tahun manakala Nik Aziz 31 tahun. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 10 orang anak.


Bercerita tentang sifat mengagumkan yang ada pada Allahyarham, Tuan Sabariah berkata walaupun suaminya berada dalam keadaan sakit namun beliau tetap bangun menunaikan solat Tahajjud dan ia sememangnya amalan yang sering dilakukan semenjak dahulu.

“Tidak pernah diabaikannya atau mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat hingga jam 2 pagi (ketika menjadi Menteri Besar) bertahajjud tetap jadi keutamaannya,” ujar Tuan Sabariah. -mynewshub

Related Posts