Apakah sah Solat andai seorang lelaki itu memakai Emas?

shares |


Umat Islam secara umumya ramai yang mengetahui bahawa lelaki dilarang memakai emas pada tubuh badan mereka. Namun, ada sesetengah yang masih berdegil tetapi tetap memakainya dalam kehidupan seharian.

Walaupun memakai hiasan emas seperti cincin emas dan rantai emas, mereka tetap mendirikan solat,berpuasa dan melaksanakan ibadat-ibadat yang lain. Oleh itu, timbul persoalan, apakah status solat jika memakai emas? Adakah sah atau pun sebaliknya?

Pertama sekali kita melihat dahulu, apakah antara dalil yang melarang lelaki memakai emas.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

Daripada Abu ‘Umarah al-Bara’ bin ‘Azib R.huma katanya, “Rasulullah SAW menyuruh kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, melepaskan sumpah orang yang bersumpah, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam apabila bertemu. Baginda menegah kami daripada memakai cincin emas, minum dengan bekas yang dibuat daripada perak, menggunakan lapik duduk sutera dan memakai pakaian yang dibuat daripada sutera, sutera tebal dan sutera Dibaj(dari Yaman)”.

Daripada hadis ini, antara perkara yang dapat disimpulkan adalah, baginda melarang lelaki memakai cincin emas dan bukannya satu larangan bagi wanita. Oleh itu, menjadi satu perkara yang ditegah kepada lelaki untuk memakainya dan berdosa.

Seterusnya, apakah syarat sah solat?

Syarat sah solat dibahagikan kepada lima, iaitu:

  • Suci daripada hadas sama ada kecil mahupun besar.
  • Suci tempat solatnya, pakaian yang dipakai dan tubuh badan daripada segala najis yang tidak dimaafkan.
  • Yakin bahawa waktu solat telah masuk.
  • Menutup aurat.
  • Menghadap kiblat.
  • Di dalam syarat sah solat di atas, tidak dinyatakan bahawa memakai emas itu satu perkara yang membatalkan solat dan emas bukanlah najis atau benda kotor yang tidak boleh dibawa ke dalam solat.

Kesimpulannya, hukum memakai emas ketika solat adalah, sah solatnya tetapi berdosa memakai emas.

Walaupun sah solat, sebaik-baiknya kita elakkan daripada melanggar perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Lebih-lebih lagi, sebagai lelaki dan memegang status sebagai ketua keluarga sewajarnya kita menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak dan juga isteri terhadap kecaknaan terhadap hukum hakam di dalam agama Islam.

Sekian. Silakan share kepada rakan-rakan, mungkin mereka juga masih mencari jawapan bagi kekeliruan ini. Wallahualam. Terima kasih.. -JAKIM

Related Posts