Hukum Memakai Telekung Berwarna-Warni

shares |


Kebelakangan ini, para pereka fesyen telah banyak menceburkan diri mereka di dalam fesyen pakaian muslimah. Ada yang membuat perubahan warna, corak pakaian dan sebagainya tanpa melanggar perintah syarak dalam penjagaan aurat.

Perubahan ini juga sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pakaian muslimah yang dibawa ke dalam solat atau dipanggil sebagai telekung. Kebiasaannya, kita sering melihat telekung hanya berwarna putih bersih yang dipakai oleh para muslimah.

Namun, sekarang muncul pula fesyen telekung berwana warni. Oleh itu, timbul persoalan, apakah Hukum Memakai Telekung Berwarna-Warni?

Mengenai hukum pemakaian telekung ini, pertama-pertamanya mari kita lihat, apakah syarat sah solat:

Syarat sah solat dibahagikan kepada lima, iaitu:

  • Suci daripada hadas sama ada kecil mahupun besar.
  • Suci tempat solatnya, pakaian yang dipakai dan tubuh badan daripada segala najis yang tidak dimaafkan.
  • Yakin bahawa waktu solat telah masuk.
  • Menutup aurat.
  • Menghadap kiblat

Di dalam syarat sah solat di atas, tidak dinyatakan tentang warna telekung yang wajib dipakai oleh wanita di dalam solat. Perkara yang perlu dititik beratkan mengenai pakaian adalah suci pakaiannya dan telekungnya itu menutup aurat.

Oleh itu, berbalik kepada pendapat para ulamak. Para ulamak menyatakan, sunat bagi wanita memakai telekung berwarna putih.

Jika memakai warna selain putih, solatnya sah dan tidak berdosa. Sudah menjadi lumrah, wanita menyukai perkara-perkara yang cantik dan memuaskan hati mereka.

Islam tidak melarang dalam berfesyen selagi mana menjaga batas-batasnya dan mematuhi syariat berfesyen dan berhias. Dalam setiap larangan pasti ada hikmah disebaliknya.

Kesimpulannya, walau apa jua warna telekung yang dipakai di dalam solat, jaga niat dalam pemakaiannya. Bukannya untuk menunjuk-nunjuk dan riak. Ikhlaslah untuk beribadat kepada Allah SWT.

Semoga solat kita diterima dan ditulis oleh malaikat sebagai bekalan amal untuk dibawa bertemu-Nya pada hari penghakiman kelak. Wallahualam. Assalamuallaikum wbt.

Silakan share kepada rakan-rakan, sama-sama kita menyebarkan mengenai hukum memakai telekung berwarna-warni ini. :)

Related Posts