Cara Bersolat Ketika Dalam Kapal Terbang

shares |


Soalan :

Bagaimana hendak bersolat ketika dalam kapal terbang?

Jawapan

Solat tetap wajib walaupun di atas kapal terbang . Sekiranya perjalanan tidak jauh , boleh lakukan solat jamak dua waktu sama ada sebelum berlepas atau selepas mendarat. Tetapi sekiranya masa penerbangan terlalu lama hingga melebihi dua waktu solat atau ketika masuk waktu subuh, solat hendaklah dikerjakan di dalam pesawat . Berada dalam pesawat yang terhad ruangnya sudah tentu menimbulkan kesukaran. Tetapi anda perlu berusaha untuk solat dengan memenuhi semua rukunnya. Hanya setelah tidak dapat, barulah solat dilakukan sekadar kemampuan dengan meninggalkan beberapa rukun seperti solat orang sakit .

Berikut adalah beberapa saranan yang boleh dilakukan untuk bersolat di atas pesawat :

1- Berusaha mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Anda boleh minta kebenaran daripada anak kapal untuk bersolat di ruang kosong di hadapan atau dicelah-celah kerusi . Sekiranya ruang itu digunakan oleh mereka untuk tugas-tugas kabin, tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai .

2- Sekiranya ketika bersolat pesawat bergoyang, dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar pada dinding atau kerusi bagi mengimbangi diri kerana Rasullulah saw juga pernah solat dengan bersandar pada tiang ketika sudah uzur. Tetapi jika gegarannya kuat , lebih baik duduk dan teruskan solat sambil duduk.

3- Sekiranya goyangan pesawat begitu kuat hingga amaran "pasang tali pinggang keselamatan" atau "fasten seat belt" dikeluarkan, anda boleh bergerak ke tempat duduk dan menyambung solat di kerusi . Keadaan ini sama dengan keadaan solat dalam ketakutan (solat khauf) .

4- Sekiranya tidak memperoleh tempat untuk bersolat dengan berdiri, anda boleh solat di tempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah daripada rukuk. Sekiranya dapat menentukan arah kiblat, hendaklah menghadap ke arah kiblat ketika bertakbiratulihram. Solat ini tidak perlu diulang setelah sampai ke destinasi .

Arah penerbangan yang berubah-ubah ke arah utara dan selatan, serta ada kalanya selari dengan pusingan bumi dan gerak matahari menyebabkan kesulitan untuk menentukan waktu solat . Namun kesulitan ini bukan lesen bagi penumpang meninggalkan solat .

*Rukhsah yang diberikan kepada orang yang dalam perjalanan yang panjang. 
1-Qasar solat
2-Jamak solat
3-Berbuka puasa ramadan
4-Sapu khuf

Bagi musafir yang berada di atas kapal terbang , waktu solat fardu dapat ditentukan dengan beberapa cara :

1- Memerhatikan keadaan di luar

Apabila matahari tenggelam di ufuk barat, bererti waktu maghrib sudah masuk . Setelah hilang cahaya merah di langit, menandakan waktu maghrib tamat dan bermula pula waktu isyak . Waktu subuh pula masuk apabila matahari mula terbit diufuk timur.

2- Ijtihad

Waktu solat zuhur dan asar dapat ditentukan berdasarkan kedudukan kapal terbang di atas ruang udara negara . Maklumat ini boleh diperolehi daripada juruterbang dengan bantuan pramugari. Sesetengah syarikat penerbangan memaklumkan waktu setempat. Berdasarkan maklumat ini anda boleh melewatkan sedikit solat kerana waktu di udara lebih lambat daripada di darat. Lebih mudah sekiranya anda dapat menjamak dua solat dalam satu waktu. Sama ada jamak takdim atau jamak takhir berdasarkan mana yang lebih mudah. Tetapi sekiranya maklumat ini tidak diperolehi , anda boleh berijtihad dan solat anda sah dengan ijtihad tersebut. Melainkan sekiranya selepas solat anda mendapat maklumat bahawa waktunya belum masuk, maka solat perlu diulangi semula.

Petikan : Buku "Anda Bertanya Ustad Menjawab Mengenai Solat" - Rohidzir Rais

Related Posts