Jauhi dosa mengumpat dan fitnah..

shares |


Mengumpat (ghibah) bukan hanya pada ucapan lidah tetapi pada setiap gerakan, isyarat, ungkapan, sindiran, celaan, tulisan atau segala sesuatu yang difahami sebagai hinaan.

Manakala perkataan ‘fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Berikut adalah antara ayat-ayat al-Quran dan hadis banyak membicarakan berkaitan larangan mengumpat dan fitnah yang harus dijauhi oleh seluruh masyarakat Islam.

Rasulullah SAW pernah bertanya para sahabatnya : “Tahukah kamu apa yang dimaksudkan dengan ghibah itu?” Lalu mereka menjawab : “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Maka sabda Nabi SAW : “Iaitu kamu membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci atau tidak menyukai apabila mendengarnya.”( Hadis riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e. )

Kemudian Nabi SAW ditanya : “Bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat yang benar seperti apa yang saya katakana tadi?” Rasulullah SAW menjawab : “Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya.”(Hadis riwayat Imam Ahmad dan perawinya Thiqah)

Daripada Jabir beliau berkata : “Kami pernah berada di samping Nabi SAW, kemudian berhembuslah angin yang berbau busuk lalu bertanyalah Nabi SAW, “Tahukah kamu apakah baunya ini? Inilah bau orang yang mengumpat.”(Surah al-Hujurat ayat 12)

Surah ini dengan jelas menghuraikan persoalan tentang fitnah. “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?” (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.”

Wallahu ‘alam.

Related Posts