Perbezaan Antara Mukjizat Dengan Karamah..

shares |


Daripada kisah-kisah yang dikhabarkan kepada kita bahawa Karamah adalah perkara yang harus berlaku dari kurniaan Allah kepada AuliaNya. Oleh kerana Aulia itu adalah orang-orang yang sangat dikasihi oleh Allah. Maka karamah mereka tidak mungkin berlaku secara kebetulan, bahkan apa jua perbuatan yang dipandang luar biasa bagi orang awam tetapi tidak mustahil bagi para aulia kerana karamah itu adalah kurnia Allah.

Maka untuk mengatakan perkara yang luar biasa itu mustahil berlaku bagi aulia adalah berlawanan dengan iktiqad orang mukmin bahawa semuanya bahawa semuanya boleh dilakukan oleh Allah yang maha Esa dan Maha berkuasa bila Allah menghendakiNya.

Allah SWT berfirman :


Ertinya : Sesungguhnya Allah yang menjadikan kamu dan menjadikan segala apa yang kamu lakukan. (Surah As-Saffaat : 96)

Maka segala riwayat mengenai karamah para aulia baik yang disampaikan oleh Nabi sendiri atau oleh para sahabat yang soleh adalah harus. Para Ahlul Makrifat berpendapat bahawa karamah para sahabat itu pasti berlaku kerana terdapat 'Athar' yang mempastikan adanya para aulia itu sementara khabar mengenainya sampai ke martabat 'khabar Mutawatir'.

Menurut sebahagian fuqahak hadis marfuk ialah Khabar dan hadis maukuf ialah Athar. Adapun menurut Ahlul Hadis Marfu dan Hadis Maukuf dinamakan Hadis Athar. Menurut Imam Syatibiy "Ahlul Makrifat' ialah orang-orang yang bersih hatinya seperti cermin sehingga hati mereka dapat melihat perkara-perkara yang ghaib. Dikatakan bahawa hati mereka bersinar dengan 'nur iman an nur yaqin'. maka dengan kadar kekuatan imannya hatinya dapat 'bermesra' dengan hal-hal yang berada dibelakang hijab kita.

Oleh itu, para sufi yang takwa dan soleh berkeyakinan bahawa segala riwayat mengenai karamah para aulia itu wajib berlakunya tidak mengelirukan dan sama sekali bukan cerita khayalan. Sebaliknya dikatakan siapa yang ingkar adanya karamah naka di antara ahli ibadah mungkin melalui kesudahan yang buruk atau suul khatimah.

Seperti diketahi karamah ialah pemberian Allah SWT yang boleh berlaku tanpa memerlukan sebarang sebab. Karamah diberikan kepada hamba-hamba Allah tertentu di kalangan orang-orang yang taat dan soleh untuk meninggikan hikmah atau martabatnya. Karamah itu juga menjinakkan keliarannya, memberikan pertolongan semasa hidupnya atau meneguhkan lagi makrifatnya atau karamah itu mungkin berupa ujian bagi seorang wali Allah dalam hal-hal tertentu. Karamah tidak mungkin berlaku kepada seseorang yang tidak mempunyai sifat-sifat yang layak bagi seorang para auliaNya.

Syarat Bagi Karamah

Dalam kitab 'Taraiq Wattala'id' ditekankan bahawa kejadian Karamah itu mempunyai beberapa syarat. Syarat-syarat yang dianggap penting :

  • Karamah hendaklah berlaku kepada seorang yang soleh dan baik menjunjung perintah Allah SWT dan menjauhi larangNya baik zahir dan batin.
  • Tidaklah karamah itu sampai keperingkat 'melahirkan anak tanpa bapa' kerana orang yang dikurniakan Allah kebolehan ini hanya Siti Maryam ra.
  • Jangan berlaku karamah itu pada perkara-perkara yang diharamkan seperti yang telah disepakati oleh Ijmak Ulamak. 

Menurut Imam Al Yadali kebanyakan para Aimmah bersependapat karamah itu harus atau boleh menyamai Mukjizat dari segi keganjilannya. Oleh itu, ada karamah yang diberikan kepada Para Wali Allah hingga dia boleh menghidupkan orang atau haiwan yang telah mati (dengan izin Allah SWT) .

* Nabi Isa as diizinkan Allah SWT menghidupkan orang yang mati dengan mukjizatnya maka sebahagian aulia diizinkan Allah SWT untuk menghidupkan yang telah mati seperti karamah Kisah Syeikh Ahmad Idris dengan anaknya, dan Syeokh Abdul Kadir Jailani menghidupkan tulang ayam yang telah dimakannya.

Imam As-Syaarani berkata: "Menurut jumhur ulamak bahawa perkara yang disifatkan sebagai mukjizat bagi para Nabi itu harus juga berlaku kepada para aulia."

Tiga Perbezaan Utama

Walaupun pada keadaan tertentu boleh menyamai Mukjizat tetapi pada umumnya ada perbezaan antara dikeduanya. Perbezaaan yang umum ialah :

1. Mukjizat hendaklah disertai dengan pengakuan menjadi Nabi. Tetapi karamah bagi Para Wali itu tidak harus ada dakwaan seperti itu. Misalnya seorang wali mengizinkan seseorang sesuatu yang dipintanya maka berlakulah perkara yang luar biasa dengan izinNya atau melalui karamahnya dia dapat menewaskan musuhnya ketika tidak ada cara lain untuk mengalahkan musuhnya. Karamah juga bertujuan menguatkan keyakinan seseorang murid (yang beramal dengan tariqat wali itu ) tetapi tidak boleh ditunjukkan tanpa tujuan yang benar.

2. Mujjizat itu adalah sebagai bukti kenabian manakala karamah tidak diberitahu lantikannya itu. Ini kerana karamah adalah perkara 'Zann' yang tidak diketahui secara pasti oleh orang yang memperolehinya. (Bagaimanapun, Imam Al-Qusyairi dan Imam Abu Ali Ad-Daqaq berkata sebahagian Wali tahu karamah yang dikurniakan Allah kepada mereka. )

3. Menurut tahqiq Syarak, Mukjizat itu disuruh untuk diperlihatkan kepada orang lain, manakala karamah hendaklah (harus) dirahsiakan kerana bimbang fitnah. Namun, andai ada sebahagian wali memperlihatkan karamahnya kepada orang ramai semua itu dengan izin Allah dengan tujuan tertentu. Wali itu perlu memperlihatkan karamahnya dengan tujuan memberikan peringatan atau tarbiah kepada murid-muridnya atau orang yang menghendakinya. Mukjizat berlaku bukan setiap masa tetapi pada keadaan tertentu sahaja. Misalnya Nabi Muhammad saw pernah memberi makan kepada 1,000 orang sahabat atau tentera ketika menggali parit dalam Perang Khadaq cukup hanya segantang gandum sahaja. Kejadian ini adalah Mukjizat di waktu perlu sahaja. Namun, Mukjizat seperti ini tidak berlaku dalam keadaan biasa misalnya ketika ketiadaan makanan di rumah Nabi hingga baginda terpaksa mengikat perutnya dengan dua (2) biji batu untuk mengurangkan rasa laparnya.

Mukjizat atau Karamah itu berlaku ketika hamba Allah itu memerlukan bantuanNya ketika kehabisan ikhtiar. Mukjizat atau Karamah tidak berlaku untuk mengajar atau mendidik orang lain akan hakikat hidup yang sebenarnya menurut sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dengan pengertian lain, Mukjizat atau Karamah tidak berlaku sepanjang masa seperti mana dikehendaki oleh Nabi atau Wali itu. Jika Mukjizat atau Karamah boleh berlaku sepanjang masa kejadiannya itu boleh menggoncang atau memesongkan akidah (iman) yang lemah jika tanpa izin semata-mata kepada Allah SWT.

Wassalam....

Related Posts