Vape difatwakan haram, bagaimana pula dengan berhukum selain hukum Allah?

shares |


Selepas Johor dan Kelantan mengharamkan vape, kini Majlis Fatwa Kebangsaan pula memfatwakan rokok elektronik itu sebagai haram dan menggesa agar semua negeri mengharamkannya. Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu diambil berdasarkan kajian yang dijalankan dalam pelbagai sudut seperti syariah, perubatan dan saintifik.

Walaupun setakat ini belum ada bukti kukuh daripada mana-mana pakar kesihatan mengesahkan yang menghisap vape memudaratkan kesihatan dan belum ada statistik bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan vape dikeluarkan, namun Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkannya atas sebab memudaratkan kesihatan, selain daripada membazir.

Sehingga kini banyak pihak masih berbeza pendapat tentang halal-haram vape, tetapi nampaknya telah banyak gesaan dibuat oleh golongan agamawan untuk mengharamkan rokok elektronik yang menjadi tren muda-mudi sekarang itu.

Mengukur sesuatu dengan halal dan haram memanglah suatu yang wajib bagi setiap Muslim, dengan syarat ia diistinbat (digali) dari nas yang syarie dan kena pada manath (fakta) perkara yang dihukumi itu. Kesalahan memahami manath, atau kesalahan mengistinbat nas, akan menjadikan hukum yang dikeluarkan itu berkemungkinan salah.

Dalam kes vape ini sebagai contoh, untuk dikatakan memudaratkan kesihatan (dari segi manath), maka hendaklah ada bukti secara saintifik (bukan hanya andaian atau dugaan dan bukan juga hanya kerana kewujudan kes terpencil) yang membuktikan bahawa vape benar-benar memudaratkan, maka barulah tepat istinbat nas “membahayakan bahaya” dikenakan ke atasnya. Jika tidak, maka nas tersebut telah digunakan dengan cara yang tidak kena pada tempatnya.

Namun, setiap Muslim, apatah lagi jabatan agama, perlu ingat bahawa bukan hanya vape yang wajib dinilai dari segi halal-haram. Dalam Islam, segala benda (al-ashya’) dan perbuatan (al-af’al) wajib dinilai dari segi halal-haram. Termasuklah dalam konteks pemerintahan negara, politik, ekonomi, pergaulan lelaki-perempuan dan banyak lagi, semua ini mesti dilihat berdasarkan halal-haram!

Berhukum dengan selain yang diturunkan oleh Allah seperti hukum demokrasi yang diamalkan di Malaysia sekarang adalah haram, melaksanakan ekonomi ribawi seperti yang diamalkan di Malaysia sekarang adalah haram, wujudnya pusat-pusat perjudian berlesen, kilang arak berlesen, pasaran saham, insurans, kelab-kelab malam dan banyak lagi maksiat lainnya, semua ini adalah haram di sisi Islam, dengan nas yang qathie (pasti).

Perampasan harta rakyat melalui pelbagai bentuk cukai, memilik negarakan al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum) seperti minyak dan gas dan bahan-bahan galian lainnya atau memberinya kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa memulangkan hasilnya kepada rakyat, semua ini adalah haram, kerana semuanya bertentangan dengan nas yang qathie.

Begitu juga dengan menyekat aktiviti dakwah yang benar hanya kerana ketiadaan tauliah, melakukan fitnah ke atas orang lain, termasuk menuduh kafir/sesat orang yang tidak sependapat dengan kita, membantu kezaliman pemerintah, mentaati arahan daripada pemerintah yang ternyata arahan itu bertentangan dengan hukum syarak dan sebagainya, semua ini adalah haram di sisi Islam.

Namun, sayangnya, berapa banyak daripada keharaman-keharaman tersebut yang jauh lebih bahaya dan lebih besar kesannya ke atas masyarakat dan negara daripada "keharaman vape", semua itu tidak difatwakan haram oleh jabatan agama yang berkenaan.

Semoga mereka sedar akan hal ini dan seterusnya bukan sahaja mengeluarkan fatwa yang benar ke atas semua keharaman tadi, malah mereka menjadi pihak yang berjuang untuk menghapuskan keharaman itu serta berjuang untuk menegakkan kebenaran walau apa pun risikonya, bukan sekadar ‘maintain’ menjadi juara dalam mengeluarkan fatwa dalam isu-isu yang juz’i sahaja.

Related Posts