Tauke Tetap Meneruskan Perjuangan Yus Jambu Di MLM2016

shares |


PEMERGIAN Yussry Edoo atau Yus Jambu atau juga dikenali dengan panggilan Pak Yus akhir November lalu, sedikit sebanyak memberi impak kepada teman rapat pelawak yang berasal dari Perlis itu.

Ia secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya buat peminat kumpulan Jambu khususnya mengenai perjuangan gandingan arwah Yus iaitu Tauke.

Bagaimanapun persoalan itu terjawab menerusi sidang media program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) apabila Tauke membentuk kumpulan baharu bersama Angah dan Ajak (Shiro) menerusi 'LOL'.

Wakil LOL, Angah atau nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim berkata, idea gabungan LOL tercetus daripada Tauke sendiri yang mahu meneruskan perjuangan arwah di arena komedi.

"Memandangkan kami bertiga antara orang yang rapat dengan arwah, jadi selepas kehilangannya, Tauke rasa perlu untuk sambung perjuangan arwah agar kami dapat beri pengiktirafan dan penghargaan buatnya.

"Ia juga sebagai mengenang karya arwah yang dulu sering menghiasi pentas MLM ini," katanya.

Menolak andaian untuk meraih simpati, Angah berkata niat mereka hanya untuk mengingati kebaikan dan apa yang pernah dilakukan oleh Pak Yus sebelum ini.

"Saya menolak tawaran Tauke pada awalnya kerana merasakan ia seperti meraih simpati. Tetapi apabila Tauke menerangkan dengan lebih lanjut tujuan gabungan ini, baru saya bersetuju.

"Kami bukan buat untuk simpati atau memburu kejuaraan sekalipun. Tujuan gabungan LOL adalah untuk menyambung kerja-kerja amal arwah.

"Contoh seperti ada undangan persembahan buat LOL, bayaran yang diterima itulah yang akan kami salurkan ke beberapa buah sekolah tahfiz seperti yang arwah lakukan sebelum ini," katanya.

Walaupun mengakui kedua-dua ahlinya itu mempunyai imej kumpulan masing-masing sebelum ini, dia berkata perubahan imej tersebut terletak kepada persembahan dan pandangan penonton.

"Jika penonton masih menilai mereka dengan imej kumpulan mereka sebelum ini, kami tidak mampu berbuat apa-apa.

"Semuanya bergantung kepada persembahan kami untuk menonjolkan imej baharu ini atau sebaliknya," jelasnya.


Dalam pada itu, pelawak berusia 38 tahun ini mendedahkan bakal menamatkan zaman dudanya dengan gadis pilihan hati, Amira Asyura Abd Razak, 20, pada 19 Februari nanti.

Dia yang telah menduda selama sembilan tahun membuat keputusan itu setelah mengenali Amira hampir tiga tahun sebelum mengikat tali pertunangan 18 Januari 2015.

"Saya akan bernikah pada 19 Februari ini dan majlis persandingan akan dilangsungkan keesokannya di Dewan Tun Ali Melaka.

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengundang rakan-rakan dan peminat untuk hadir ke majlis saya nanti," katanya.

Walaupun memiliki jarak usia agak jauh, Angah mengakui ia bukan suatu masalah dalam perhubungan mereka. Malah, kematangan Amira juga membuka pintu hatinya untuk jalin hubungan lebih serius.

"Dia (Amira) tiada masalah menerima saya seadanya. Dia seorang yang matang dan kami rasa ada keserasian yang membuatkan saya memilihnya untuk menjadi suri dalam hidup saya," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai bakal isterinya, Angah berkata, Amira masih merupakan penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pelakon filem Adnan Sempit itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2002 sebelum berpisah pada 2007.

Sepanjang berkongsi hidup, mereka dikurniakan seorang anak, Nurrina Fassha yang kini berusia 12 tahun.

Related Posts