Keadaan Terbaru Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau

shares |


KUALA LUMPUR – Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau mengukir senyuman terharu dari kerusi rodanya ketika meninggalkan Hospital Selayang dekat sini selepas sebulan dirawat kerana masalah prostat.

“Saya rindukan pakaian berkelip-kelip saya,” kata penyanyi veteran berusia 77 tahun yang membayangkan keinginannya untuk terus membuat persembahan pentas semasa ditemui sekumpulan pemberita yang mengunjungi beliau di hospital awam itu.

Beliau malah menzahirkan rasa rindunya kepada peminat-peminatnya setelah agak lama tidak beraksi di pentas persembahan berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya kini.

M. Daud Kilau dibenarkan pulang tengah hari ini setelah menjalani rawatan sejak 15 Jan lalu. Sebelum itu beliau dirawat di Hospital Teluk Intan akibat komplikasi membuang air kecil.

“Saya perlu menjalani pembedahan susulan masalah prostat yang kedua pada 2 Mac ini kerana masih mengalami kesukaran untuk membuang air kecil dan perlu bergantung dengan alat membuang air kecil.

“Walaupun kini saya boleh dikatakan hampir sembuh kira-kira 90 peratus, tetapi saya masih perlu mendapat rawatan susulan di hospital ini (Hospital Selayang),” kata beliau lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez turut hadir menziarahi M. Daud Kilau bersama-sama dua ahlinya yang lain bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang.

Freddie berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban penyakit yang ditanggung dan berharap agar beliau segera sembuh serta dapat beraksi semula di pentas persembahan.

M. Daud Kilau terkenal pada tahun 1970-an dengan lagu “Cek Mek Molek” dan “Gila Judi“. – BERNAMA

Related Posts