Johan Raja Lawak Dan Ayda Jebat Mendominasi AME2016

shares |


Johan dan Ayda Jebat masing-masing dipilih sebagai pemenang kategori utama Top Top MeleTOP (Lelaki) dan Top Top MeleTOP (Wanita) pada Anugerah MeleTOP Era (AME) 2016, yang berlangsung di Pusat Konvesyen CIDB, di sini, malam tadi.

Dengan kejayaan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi sumbangan Astro.

Johan turut mengungguli kategori Penyampai Radio MeleTOP, Couple MeleTOP (bersama isterinya Ozlyn), Program Radio MeleTOP (JoHaRa Pagi ERA bergandingan dengan Haniff dan Ray) dan Artis Lawak MeleTOP.

Ayda juga cemerlang dalam kategori Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP (Siapa Diriku), Drama MeleTOP (MAID, turut dilakonkan Ayda sebagai heroin) dan Pelakon MeleTOP.

Penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza menang kategori Bintang Online MeleTOP, manakala Akim & The Majistret memenangi kategori Grup Duo MeleTOP.

Pemenang untuk kategori lain adalah Mira Filzah (Artis Baru MeleTOP), GegarVaganza 2015 (Program MeleTOP), Zizan Razak (Bintang Filem MeleTOP), Polis Evo (Filem MeleTOP) dan Datuk AC Mizal (Hos TV MeleTOP).

Setiap pemenang bagi kategori lain membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi sumbangan Astro.

Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Zaman pula menyaksikan bidang bukan hiburan diiktiraf apabila dimenangi pengulas sukan, Zulkarnain Hassan.

AME 2016 yang juga AME ketiga menggunakan 100 peratus undian peminat di laman web rasmi ERA dan Meletop, kiriman teks pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi RAKU.

AME 2016 dikendalikan gabungan empat hos iaitu Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad, Neelofa dan Jihan Muse.

Acara karpet merah pula dihoskan oleh Nora Danish dan dua penyampai radio ERA, Haniff serta Ray.

Bertemakan Satu Undian Satu Senyuman, AME 2016 juga disiarkan secara langsung pada jam 9 malam tadi di Astro Ria dan Astro Ria HD. -utaranews

Related Posts