Wang Sedekah Anak Yatim Tak Boleh Jadi Hak Milik Pemegang Amanah

shares |


Pemegang amanah anak yatim, mutawalli, bapa saudara atau sesiapa sahaja yang menjaga anak yatim boleh menggunakan hak pengurusan wang untuk tujuan keperluan anak yatim sahaja.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata hak pengurusan wang dan sedekah anak yatim perlu diuruskan pemegang amanah dengan kejujuran dan rasa tanggungjawab.

Beliau berkata, wang disedekah kepada anak yatim tidak boleh menjadi hak milik pemegang amanah atau digunakan untuk manfaat peribadi mereka dengan sewenang-wenangnya.

"Ada yang bertanya kami, keharusan penggunaan wang sumbangan orang ramai untuk keperluan (maslahah) anak yatim itu sendiri.

"Kami dengan tegas menyatakan hak pengurusan wang berkenaan tertakluk kepada keperluan dan sumbangan atau sedekah kepada anak yatim," katanya mengulas tentang dakwaan ahli keluarga yang menyeleweng duit sumbangan kepada dia anak mangsa kemalangan ngeri di ibu negara tahun lain.

Dr Zulkifli berkata, jabatan ada menziarahi keluarga berkenaan sebagai tanda simpati beberapa hari selepas tragedi dan sudah menjelaskan isu berkenaan kepada ahli keluarga mangsa.

Hukum dan azab

Mengulas tentang hukum memakan dan menyalah gunakan harta anak yatim menurut Penolong Professor (Assistant Professor atau Pensyarah Kanan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd Rahman melalui catatan dalam Facebook beliau, ujarnya ia boleh membawa kepada dosa besar.

Jelasnya menjadi kewajipan penjaga anak yatim untuk mengurus hartanya dengan sebaik-baiknya.

Ketika anak yatim itu telah dewasa dan mampu mengurus hartanya sendiri, hendaklah dia menyerahkan harta si yatim kepadanya. Allâh berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ
Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. [Al-An’âm: 152 dan Al-Isra’/17: 34]

Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di rh berkata, “Dan JANGANLAH kamu dekati harta anak yatim, dengan MEMAKAN, atau MENUKARNYA dalam bentuk yang MENGUNTUNGKAN kamu, atau mengambil dengan tanpa sebab. KECUALI dengan cara yang menyebabkan harta mereka menjadi baik, dan mereka akan mendapatkan manfaatnya." (Tafsir al-Sa'di)

Ini menunjukkan tidak boleh mendekati dan mengurusi harta anak yatim dengan cara yang akan merugikan anak-anak yatim, atau bentuk yang tidak membahayakan tetapi juga tidak membawa kebaikan.

Ancaman

Allâh Azza wa Jalla berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). [An-Nisa:10]

Rasulullah bersabda :
"Sesungguhnya saya sangat memberatkan dosa (kesalahan) orang yang menyia-nyiakan haknya dua golongan yang lemah, iaitu anak yatim dan orang perempuan."

Ini adalah Hadis hasan yang diriwayatkan oleh an-Nasa'i dengan isnad yang baik.

Maksudnya adalah memakan tanpa hak (bahwasanya mereka menelan api sepenuh perut mereka) karena harta itu akan berubah di akhirat nanti menjadi api (dan mereka akan masuk dalam api yang bernyala-nyala) iaitu menjadi api neraka yang menyebabkan mereka terbakar hangus.

Sumber : Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Related Posts